Misteri terungkai

0

LOKASI KEJADIAN: Polis melakukan pencarian mangsa di kawasan ladang getah di Jalan Sibu-Durin semalam.

TURUN PADANG: Unit K9 turut terlibat dalam operasi pencarian mangsa.

BANTU SIASATAN: Kenderaan pacuan empat roda dipercayai digunakan mangsa dibawa ke Balai Polis Sentral, semalam.

 

 

Mayat penolong pengurus estet ditemui dengan kesan tetakan dalam parit ladang getah.

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Misteri kehilangan seorang penolong pengurus estet sebuah syarikat perladangan yang gagal pulang dari ladang getah sejak Rabu lalu, akhirnya terungkai dengan penemuan mayat seorang lelaki di dalam parit di kawasan ladang getah di Dudong, Jalan Sibu-Durin di sini, semalam.

Mayat Wong King Tung, 55, yang dipercayai dibunuh ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam parit di ladang getah berkenaan pada kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Menurut seorang pengurus ladang yang enggan dikenali, mangsa pergi ke ladang getah berkenaan untuk membuat pemeriksaan ladang pada jam 9 pagi Rabu lalu.

Apabila menyedari mangsa gagal pulang, beliau membuat laporan polis mengenai kehilangannya di Balai Polis Sibu Jaya pada jam 7.50 malam kelmarin.

Bertindak atas maklumat, pasukan polis melakukan gerakan mencari di lokasi kejadian.

Polis juga menjumpai kenderaan pacuan empat roda milik syarikat yang digunakan oleh mangsa diparkir di bahu jalan dengan keadaan cermin sebelah pemandunya terbuka.

Bau busuk yang dihidu ketika melakukan gerakan mencari membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki tertiarap di dalam parit di hujung ladang.

Pasukan penyiasat IPD Sibu diketuai KBSJD, DSP Yeoh Chun Shyan dengan dibantu anjing pengesan K9 turut berada di lokasi mencari bahan bukti.

Di samping itu, pasukan forensik dari IPK Sarawak juga dihubungi untuk membantu siasatan.

Pemerhatian awal polis mendapati ada beberapa kesan luka tetakan di muka mangsa setelah mayat dialih dari kedudukan asal.

Polis juga menemui topi, cermin mata, gigi palsu, kasut, sebilah parang dan alat pemotong di lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa mempunyai seorang pekerja Indonesia di bawah seliaannya.

Mangsa dikatakan bekerja dengan syarikat perladangan berkenaan sejak tahun 2011.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bedah siasat dijadual dilakukan pada hari ini, jam 10 pagi di Bilik Mayat Hospital Sibu.

Sementara itu, kereta pacuan empat roda yang dipercayai digunakan oleh Wong dibawa ke Balai Polis Sentral tengah hari semalam.