PVTMS kunjungi Naib Canselor UPNM

0

SIBU: Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) mengadakan kunjungan hormat kepada Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin.

Kunjungan itu diketuai Presiden PVTMS, Thomas Ling turut disertai tiga orang ahli jawatankuasanya iaitu Frederick Guan, Jonathan Julin Bandong dan Mahiden Beneh.

Turut sama Presiden Gabungan Persatuan Cina Sibu (UCA), Ting Huat Chie dan timbalannya, Kong Chong Men.

Menurut Ling, kunjungan hormat itu bertujuan mengeratkan hubungan UPNM, PVTMS dan UCA Sibu dalam memperkenal bidang atau kerjaya ketenteraan kepada anak-anak watan Sarawak lebih-lebih lagi kepada masyarakat Cina.

PVTMS dan UCA juga mengadakan kaunter dan taklimat kerjaya dalam ketenteraan khususnya mengenai UPNM dan Maktab Tentera Darat (MTD).

“Ini bagi menerangkan faedah diperolehi apabila menyertai bidang ketenteraan dan menanam semangat patriotisme kalangan anak muda terhadap negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, PVTMS juga mengadakan perjumpaan dan sesi beramah mesra dengan pelajar-pelajar dari Sarawak yang melanjutkan pelajaran di UPNM.

Semasa sesi perjumpaan tertutup bersama pegawai-pegawai kadet UPNM dari Sarawak, beberapa intipati isu dan permasalahan dibincangkan.

“Rombongan juga mencadangkan beberapa perkara dibincangkan untuk dibawa ke pihak atasan bagi penambaikan. Antara cadangan tersebut ialah agar UPNM dapat memaklumkan kepada pelajar-pelajar mengenai jadual cuti panjang lebih awal supaya pelajar dapat membuat tempahan penerbangan balik ke Sarawak.

“Selain itu, kita mohon UPNM memberitahu kepada ibu bapa pelajar secara bertulis mengenai pergerakan anak-anak mereka semasa cuti panjang atau pendek yang tidak balik ke Sarawak bagi mengurangkan perkara tidak diingin berlaku,” jelasnya.

Menurut Ling, PVTMS juga memohon agar UPNM dapat menambah jumlah kemasukan pelajar dari Sarawak pada tahun-tahun akan datang.

Sehingga kini seramai 60 orang anak watan Sarawak melanjutkan pelajaran di UPNM.

“PVTMS dan UCA juga mensasarkan lebih peluang kemasukan ke UPNM diberikan kepada anak Sarawak,” katanya.