Serlah keunikan kaum di Sarawak

0

TERTARIK: Abang Johari melihat hasil seni yang dipamerkan pada Pameran Seni Tertutup Sarawak 2014 di Kuching, semalam.

Corak kehidupan masyarakat harus diterjemah menerusi karya seni

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Corak kehidupan yang unik dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak amat bersesuaian untuk dijadikan hasil seni, kata Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau berkata, artis atau pelukis tempatan perlu merebut peluang tersebut dengan mengetengahkan hasil seni masing-masing berinspirasikan budaya masyarakat tempatan.

Menurutnya, keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak juga adalah seni yang sukar diperlihatkan di tempat lain dan ia sepatutnya memberi kelebihan kepada pelukis tempatan.

“Artis tempatan atau antarabangsa boleh meneroka corak kehidupan masyarakat berbilang kaum di negeri ini dan diterjemahkan menerusi hasil seni,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Seni Tertutup Sarawak 2014 di Galleria Art Gallery di sini, semalam.

Sebanyak 70 hasil seni yang diilhamkan 36 artis dipamerkan dan untuk dijual.

Abang Johari menjelaskan, setiap kaum di negeri ini mempunyai kelebihan masing-masing dan boleh dijadikan cetusan idea dalam menghasilkan karya.

“Banyak idea akan ditemui sekiranya benar-benar menerokai corak kehidupan masyarakat negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Balai Seni Visual Negara Datuk Taib Ali berkata, pihaknya sentiasa menjalin kerjasama dengan agensi yang berkaitan dengan seni.

“Ini termasuk usaha kita dalam memperkasa Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia (1MCAT) ke seluruh negara,” jelasnya.

Pameran Seni Tertutup Sarawak 2014 bermula semalam dan berakhir 31 Disember.