‘Tin kosong buat bunyi paling kuat’

1

Makin ramai ‘majoriti senyap’ akan tampil sokong Projek HEP Baram

KUCHING: Persatuan Ke-nyah Kebangsaan Sarawak (PKKS) menyatakan kese-diaan mereka untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha menampilkan suara majoriti penduduk di Baram bagi menyokong pelaksanaan kuasa hidro-elektrik (HEP) Baram.

Kenyataan itu dibuat dengan jelas oleh ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif PKKS ketika mereka melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif  Sarawak Energy Bhd (SEB) Datuk Torstein Dale Sjotveit di Menara Sarawak Energy, baru-baru ini.

Lawatan yang diketuai oleh Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau itu turut disertai ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif persatuan iaitu Penghulu Paul Kalang, Pemanca Tony Kulleh, Timbalan Pengerusi Kennedy Chuk Pai Ugon, Setiausaha Agung Romulus Charles Agan, Bendahari Agung Raymond Apoi Balan dan Pengerusi Sayap Wanita Annia Selalang Lawai.

Rombongan itu turut diiringi Robert Laing selaku Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Pada lawatan itu, rombongan tersebut menyuara-kan kebimbangan mereka mengenai laporan bahawa pembinaan HEP Baram telah ditangguh dan menyatakan sudah tiba masanya majoriti sebenar penduduk Baram yang menyokong pembinaan empangan berkenaan, bersuara.

Mereka kemudian menyeru agar kerja-kerja pembinaan empangan itu dimulakan secepat mungkin dan mengeluh sebarang penangguhan bermakna penantian yang lebih lama bagi rakyat Baram untuk menikmati faedah dan peluang dijangka diwujudkan daripada projek itu.

Penghulu Paul berkata, persatuan mereka menyuara-kan perasaan majoriti rakyat Baram mengenai pembinaan empangan yang mereka percaya akan menjadi pemangkin pembangunan di kawasan mereka yang dianggap salah satu kawasan pedalaman di Sarawak.

Beliau berkata, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menentang pembinaan empangan mendakwa mereka mewakili majoriti penduduk di Baram, tetapi beliau me-nyangkal dakwaan itu.

Bimbang tindakan berani NGO akan mengaburi mata orang luar mempercayai dakwaan itu, Paul mendakwa semakin ramai ‘majoriti senyap’ akan tampil untuk menyuara-kan sokongan mereka dan menjelaskan perkara sebenar mengenai tanggapan rakyat Baram mengenai projek itu.

“Kami mahu projek itu dilancarkan secepat mungkin. Kami adalah majoriti senyap. Mereka yang lantang bersuara bukan majoriti seperti apa yang mereka dakwa. Mereka hanya bising sahaja dan kita tahu tin kosong membuat bunyi paling kuat.

“Apa yang perlu dilakukan untuk membawa kemajuan kepada rakyat mesti dijalankan. Saya sendiri mahu melihat pembangunan dijalankan di Baram ketika saya masih hidup dan melihat semua usaha gigih kita menjadi realiti,” katanya.

Kenyataan ini turut di-sokong oleh ahli-ahli lain yang menghadiri pertemuan itu.

Sementara itu, Anyi berkata adalah jelas bahawa persatuan itu menyampaikan suara majoriti penduduk di Baram.

“Penduduk Baram sebenarnya mengalu-alukan pembinaan empangan hidro itu kerana ia adalah satu aset bagi masyarakat di sana.

“Mereka faham bahawa ia bukan empangan itu sahaja yang penting tetapi pembangunan yang mengiringinya dan dijangka memberi faedah yang tinggi kepada mereka selain membuka kawasan di sana,” katanya.

Justeru, beliau memberi jaminan persatuan mereka bersedia untuk membantu dengan apa jua cara untuk menggerakkan projek ber-kenaan.

Robert pula menambah, rakyat Baram mahu empa-ngan dibina asalkan kebajikan mereka dijaga dengan baik.

“Perkataan ‘kami’ telah di-salahgunakan di Baram. NGO yang membantah pembinaan empangan telah mendakwa mereka mewakili majoriti penduduk sedangkan realitinya ia tidak benar.

“Kita harus memainkan peranan kita untuk bersuara dengan lebih lantang bagi memadamkan suara kumpulan minoriti ini,” kata Robert.