Zahirkan semangat solidariti UMNO dengan sokong kepimpinan presiden

0

KUALA LUMPUR: Anggota UMNO perlu bersama-sama membantu dan menyokong kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menzahirkan semangat solidariti, kata wakil UMNO Sabah.

“Kita jangan biar Presiden (Najib) terkontang-kanting seorang sahaja. Jangan hanya tengok kesusahan yang ditanggung pemimpin kita sahaja.

“Kita semua mempunyai amanah masing-masing dan mainkan peranan dalam membantu Presiden untuk terus memartabatkan perjuangan parti,” katanya ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini semalam.

Kelmarin, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar, bertema ‘Solidariti Melayu dan Bumiputera, Solidariti UMNO, Solidariti Malaysia’, dengan nada tegas mahu setiap pihak memastikan kelangsungan solidariti kerana ia aset terpenting yang dapat menjamin keamanan serta keharmonian Malaysia.

Merujuk insiden pencerobohan pengganas bersenjata dari selatan Filipina di perairan Pantai Timur Sabah pada 12 Feb 2013, Tawfiq berkata peristiwa itu membuktikan semangat solidariti pemimpin tertinggi UMNO.

Kehadiran Presiden dan Naib-naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Sabah memperlihatkan keprihatinan parti itu terhadap keresahan rakyat khususnya rakyat Sabah.

“Sebelum insiden pencerobohan (di Lahad Datu) berlaku, ramai yang menghasut mahu Sabah keluar dari Malaysia. Namun apabila negara diceroboh pengganas, kami lihat hanya pemimpin-pemimpin UMNO yang turun berkampung di Sabah.

“Anak-anak muda, perajurit kita yang datang dari pelbagai negeri di Semenanjung (Malaysia) sanggup turun berjuang mempertahankan setiap inci Sabah. Inilah semangat solidariti sebenar. Terima kasih kami ucapkan,” katanya mengulas insiden berdarah yang meragut nyawa 10 anggota keselamatan negara.

Ekoran peristiwa hitam itu, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia melancarkan gerakan ofensif, Ops Daulat yang menyaksikan 68 pengganas ditembak mati dan 173 orang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan 443 lagi atas pelbagai kesalahan lain. — Bernama