JKKK perlu sedia hadapi kemungkinan banjir

0

UNTUK KENANGAN: Nancy (tengah) bersama Aidel merakam kenangan bersama kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan Beramai-Ramai.

Persiapan penting bagi pastikan penduduk terjejas dapat dibantu dengan berkesan

Oleh Rusnan Mustafa //

SADONG JAYA: Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) digesa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir khususnya bagi kampung yang terletak di kawasan rendah.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri pada perasmian Program Berkhatan Beramai-Ramai dan Kempen Derma Darah Peringkat Parlimen Batang Sadong di Masjid Daerah Darul Iman di sini semalam.

Beliau memberitahu, persiapan menghadapi banjir penting bagi memastikan penduduk yang terjejas dapat dibantu dengan berkesan.

“Sekarang kita menghadapi musim tengkujuh dan untuk itu saya meminta ahli JKKK di setiap kampung khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah agar membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir,” katanya.

Malah Nancy memberitahu, persiapan awal itu sudah pastinya memberi impak positif khususnya dalam mengagihkan bantuan dan penempatan mangsa sekiranya berlaku banjir.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada 30 individu yang pernah berkhidmat dan berbakti di kawasan Sadong Jaya.

“Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan kepada penduduk di kawasan ini tanpa mengira kaum dan agama,” tambahnya.

Selain itu, beliau meminta pemimpin masyarakat sentiasa menitikberatkan agenda perpaduan dalam setiap program dianjurkan di peringkat kampung.

“Kita perlu ingat hanya perpaduan kukuh negara kita akan dapat mencapai status negara maju pada masa depan,” ujarnya.

Hadir sama pada program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo dan tetamu kehormat lain.