22 murid tahun enamSK Bungin khatam al-Quran

0

CINTAI AL-QURAN: Para peserta Majlis Khatam al-Quran bergambar kenangan selepas selesai majlis di SK Bungin, baru-baru ini.

Oleh Hamimi Kassim //

SERAMAI 22 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bungin diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran di Betong, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Betong Ustaz Affandi Ismail.

Turut hadir Guru Besar SK Bungin Sufian Omar, ketua kampung, imam, guru-guru serta ibu bapa peserta.

Affandi ketika berucap pada majlis itu melahirkan rasa bangga terhadap penganjuran program berkenaan yang dilihat sebagai usaha melahirkan lebih ramai generasi celik al-Quran di negeri ini.

“Tahniah kepada pihak sekolah kerana berjaya menganjurkan program ini dan kita di JAIS menyambut baik usaha ini kerana ia juga dilihat dapat menyuburkan minat membaca al-Quran dalam kalangan anak-anak sejak kecil lagi,” katanya.

Menurutnya, program itu juga merupakan satu kejayaan kerana peserta yang terdiri daripada murid tahun enam khatam al-Quran pada usia yang muda.

Katanya, kerajaan juga sentiasa melakukan pelbagai inisiatif dalam meningkatkan mutu pembelajaran di negeri ini dengan bukan sahaja menumpukan bidang keagamaan malah turut menitikberatkan ilmu akademik.

“Dalam usaha kita melahirkan ramai golongan bijak pandai dalam ilmu agama dan al-Quran, pencapaian akademik mereka juga perlu mantap seiring dengan ilmu agama yang dipelajari,” tambahnya.

Sementara itu, Sufian dalam ucapan alu-aluannya berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sememangnya komited bagi memastikan murid sekolah rendah di negeri ini khatam al-Quran sebelum menjejakkan kaki ke sekolah menengah.