Hasil produk perikanan perlu berkembang

0

MAJU KE HADAPAN: Abdullah menyampaikan replika cek kepada perwakilan nelayan kawasan Pulau Bruit sambil disaksikan tetamu lain.

1.76 juta tan metrik subsektor tangkapan marin, subsektor akuakultur disasar menjelang 2020

Oleh Kepu Sidi //

PULAU BRUIT: Sejumlah 1.76 juta tan metrik pengeluaran subsektor tangkapan marin dan subsektor akuakultur disasarkan dihasilkan di Sarawak menjelang 2020.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata Dasar Agro Makanan Negara 2011-2020 menggariskan pengeluaran produk perikanan untuk makanan perlu berkembang sebanyak 2.9 peratus dengan sasaran tahunan pendaratan sebanyak 1.8 juta tan metrik.

“Kumpulan sasar perlu melipatgandakan usaha membantu negara mencapai sasaran pendaratan bagi merealisasikan matlamat negara agar mampu mempunyai sekuriti pengeluaran makanan sendiri tanpa bergantung kepada pengimportan sumber protein berdasarkan ikan dari negara luar.

“Sarawak adalah sebuah negeri yang mempunyai tanggungjawab pengurusan sumber maritim terbesar dan terpenting di Malaysia dan penghasilan produk perikanan adalah salah satu pulangan utama bagi negeri ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Gentian Kaca, Enjin Sangkut dan Peralatan Menangkap Ikan kepada nelayan Pulau Bruit di sini, kelmarin.

Sejumlah RM2 juta peruntukan berupa barangan keperluan nelayan diagihkan kepada 245 nelayan berlesen dari kawasan Pulau Bruit dan sekitarnya.

Menurut Abdullah, program ini dilaksanakan bagi membantu nelayan di kawasan ini menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara konsisten, kompetitif dan meningkatkan taraf sosioekonomi golongan sasar.

“Terdapat tiga faedah utama bakal dinikmati hasil usaha ini iaitu penggunaan sampan gentian kaca tahan lama dan mampu pergi lebih jauh berbanding sampan kayu.

“Aspek lain menggunakan enjin sangkut, tahap keselamatan nelayan lebih terjamin berbanding penggunaan enjin pam yang mudah terbakar.

“Bagi pengagihan alat menangkap ikan, kebanyakan produk diagihkan lebih mesra sumber iaitu tidak menjejaskan hidupan laut dan ekosistem,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menasihati para penerima bantuan agar tidak menjual peralatan yang diagihkan untuk mendapatkan wang segera.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Laut Sarawak Sani Mohd Isa berkata program itu dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan nelayan tradisional di sini.

“Langkah ini adalah salah satu proses membawa golongan sasaran keluar daripada konsep ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

“Matlamat kerajaan melaksanakan program ini untuk membantu golongan sasar, tidak hanya lahir sebagai seorang nelayan selama-lamanya, tetapi melahirkan golongan sasar sebagai nelayan berkualiti sekali gus menjadi usahawan berjaya dalam industri perikanan,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengarah Perikanan Laut Sarawak Bohari Leng, Pegawai Wilayah II Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Ahim Noh dan Pegawai Tadbir Sarawak (SAO)Cliff Wili Brode.