Pemuda BN sokong pindaan Akta Hasutan 1948

0

KATAKAN TIDAK: Fadillah (dua kanan) menghancurkan rokok sebagai tanda amaran kerana merokok boleh membahayakan kesihatan.

Selain bertujuan penambahbaikan, pindaan penting bagi jaga kepentingan rakyat pelbagai kaum, agama

Oleh Hamimi Kassim //

KUCHING: Kepimpinan Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia dan Negeri khasnya menyokong penuh usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan pindaan ke atas Akta Hasutan 1948 di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang.

Ketua Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof berkata selain bertujuan penambahbaikan, pindaan tersebut penting bagi menjaga kepentingan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Kita menyokong penambahbaikan ini bukan sahaja untuk mengambil tindakan kepada orang yang membangkitkan kemarahan dengan provokasi, malah apa sahaja perkara yang boleh menimbulkan kemarahan tidak kira apa agama sekalipun.

“Itu merupakan salah satu penambahbaikan yang akan dibuat, bukan hanya untuk agama Islam tetapi sesiapa sahaja mencela agama termasuk Kristian, Buddha atau amalan keagamaan maka mereka boleh didakwa.

“Sebab bagi kita di Malaysia perkara ini (keharmonian hubungan kaum dan agama) perlu dipelihara kerana disebabkan perkara kecil akan menjejaskan kestabilan dan keharmonian negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Program Lan Berambeh 2014 di Kampung Sungai Bedil Besar di sini, semalam.

Jadi, selaku ketua Pemuda BN Negeri, sesuai dengan hasil daripada Retreat (Pemukiman) Pemuda BN 2014 di Kuching baru-baru ini sememangnya pindaan tersebut selari dengan usul yang kita kemukakan, jelasnya.

“Bukan itu sahaja, kita mahu dengan perundangan ini kelak tindakan lebih tegas diambil serta bukan secara pilih kasih.

“Tidak kira apa latar belakang mereka termasuk anggota BN itu sendiri, pembangkang atau sesiapa sahaja sekiranya menimbulkan isu yang boleh menjejaskan hubungan kaum maka kita akan mengambil tindakan yang konsisten,” jelasnya.

Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Petra Jaya dalam ucapannya memuji usaha penduduk Kampung Sungai Bedil Besar kerana berjaya menganjurkan program yang telah menjadi ikon Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

“Tahniah diucapkan dan diharapkan melalui penganjuran program ini secara berterusan dapat meningkatkan lagi kesedaran penduduk kampung tentang penjagaan kesihatan berikutan tahun ini turut diadakan pelancaran program ‘Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN),” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyampaikan berita gembira kepada penduduk kampung berkenaan bahawa hasrat untuk memiliki surau lengkap dan lebih mesra warga emas akan tercapai pada tahun depan.

“Kita belum dapat membina surau baharu pada tahun ini berikutan isu tanah (tapak) masih belum selesai dan hari ini saya ingin maklumkan kepada anda bahawa perkara ini akan diselesaikan pada tahun depan,” tambahnya.

Selain itu, Fadillah turut memaklumkan bahawa kerajaan pada masa ini juga sedang mencari tanah untuk memindahkan penduduk yang tinggal di sekitar Sungai Bedil untuk melaksanakan projek perparitan.

Menurutnya, sistem perparitan yang dirancang bersama DBKU itu bertujuan mengindahkan serta memastikan kebersihan sungai di situ terjamin untuk generasi masa depan.

Terdahulu, majlis menyaksikan Fadillah menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sepanjang tiga hari program berlangsung bermula Jumaat (28 November) seperti karaoke, mewarna, membuat kuih dan banyak lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengarah KEMAS Negeri Abang Rabae Abang Muhi, Pengerusi Pengelola Program Lan Berambeh Ahmad Mansor serta tetamu jemputan.