Peniaga Pekan Rabu enggan berpindah ke tapak sementara

0

ALOR SETAR: Sebanyak 207 peniaga Kompleks Pe-kan Rabu di sini enggan berpindah ke tempat perniagaan sementara di Ukir Mall selepas notis arahan pengo-songan kompleks tersebut berakhir semalam.

Pengerusi Bertindak Anggota dan Peniaga Pekan Rabu, Norasany Hussein berkata mereka enggan berpindah kerana pihak Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad tidak melaksanakan beberapa perkara berkaitan tapak perniagaan sementara itu.

Beliau berkata antara masalah yang bakal dihadapi peniaga sekiranya beroperasi di tapak sementara itu adalah lokasinya yang tidak strategik, tempat perniagaan yang sempit dan masalah tempat letak kereta untuk mereka serta pelanggan.

“Pendirian kami semua tidak akan berpindah sehingga beberapa masalah yang dibangkitkan dapat diselesaikan oleh pihak bertanggungjawab. Kami akan berpindah sekiranya tuntutan kami dilayan,” katanya kepada pemberi-ta.

Beliau mendakwa sebahagian besar peniaga yang juga anggota koperasi hanya beberapa kali dipanggil untuk mengadakan me-syuarat dan perbincangan, tetapi kepimpinan koperasi tidak mengendahkan apa yang disuarakan mereka sebaliknya membuat keputusan berdasarkan suara minoriti.

Norasany berkata satu tindakan mahkamah akan diambil terhadap pihak koperasi yang didakwa menganiaya peniaga serta membuat keputusan tanpa mendapat sokongan daripada semua anggota koperasi.

“Sepatutnya jawatankuasa koperasi perlu menyelesaikan perkara ini dengan ahlinya kerana ini merupakan masalah dalaman. Tak perlu nak libatkan orang luar dalam hal ini untuk mengusir kami keluar,” katanya.

Katanya daripada 265 peniaga yang menjalankan pelbagai perniagaan di Pekan Rabu, hanya 58 peniaga telah berpindah ke bangunan Ukir Mall yang terletak hampir satu kilometer dari Pekan Rabu, manakala 207 lagi mengambil keputusan untuk tidak berpindah.

Tinjauan Bernama men-dapati terdapat peniaga tetap menjalankan perniagaan walaupun dalam keadaan gelap selepas bekalan elektrik di Kompleks Pekan Rabu telah diputuskan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira jam 11.40 pagi semalam.

Sementara itu Pengerusi Koperasi Pekan Rabu Berhad, Lt Kol (B) Lutfi Ahmad Ghazi berkata perbincangan dengan anggota koperasi telah dilakukan sebelum ini dan notis pemberitahuan serta arahan untuk berpindah turut diberikan kepada mereka sejak Ogos hingga Oktober lepas.

“Semua pertimbangan dan permintaan oleh peniaga telah ditunaikan oleh pihak koperasi sebelum ini. Apa yang terjadi kita akan mengosongkan tempat ini juga kerana kita lakukan mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar DSP Mat Akhir Jaafar berkata seramai 60 anggota dikerahkan bagi mengawal lalu lintas dan menjaga ketenteraman awam.

Katanya pihaknya turut membantu pihak berkuasa lain menjalankan tugas mereka tanpa diganggu oleh peniaga yang enggan berpindah semasa melakukan pemotongan bekalan elektrik.

“Kita akan tempatkan anggota polis di kawasan Pekan Rabu bagi mengawal kesalamatan dan setakat ini masih terkawal dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Pembinaan bangunan baharu kompleks Pekan Rabu akan bermula dalam tempoh terdekat selepas penyerahan tapak bangunan itu kepada pihak pemaju pada 8 Disember ini dan dijangka siap pada 2016 dengan kos bernilai RM55.58 juta.

Kompleks tersebut me-nyediakan kemudahan kepada 277 peniaga yang menjalankan pelbagai perniagaan seperti barangan makanan dan pakaian selain kraftangan tempatan serta produk perusahaan kecil dan sederhana. — Bernama