Food In perkenal menu makanan laut dimasak di dalam pelapik aluminium

0

MUDAH DIKUNJUNGI: Premis Food In yang terletak di Jalan Satok di Kuching.

KUCHING: Food In H.S Restaurant (Food In) memperkenalkan menu ‘signature’ berupa makanan laut yang dimasak di dalam pelapik aluminium dengan sambal bermula 8 Disember ini.

Menurut jurucakap Food In yang enggan namanya disiarkan, makanan tersebut amat terkenal di Semenanjung Malaysia dan kini mulai diperkenalkan di sini.

Sebelum ini, makanan signature Food In terdiri daripada nasi ayam dan ‘Chicken Chop with Mushroom Sauce’.

Pihaknya turut menyediakan makanan tempatan, barat, ‘sizzling plate’ dan makanan ringan.

Walaupun baharu beroperasi sejak Oktober tahun ini, pihaknya berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan di negeri dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Waktu beroperasi Food In bermula pada jam 9 pagi sehingga 10 malam dan dibuka setiap hari.

Pihaknya juga menyediakan perkhidmatan untuk parti atau sambutan meraikan hari kelahiran dengan ruangan yang dapat memuatkan 60 orang pada satu-satu masa.

Ruangan yang luas dengan kemudahan berhawa dingin, suasana bersih dan kawasan parkir yang banyak sesuai untuk dijadikan sebagai tempat menjamu selera bersama keluarga dan sahabat handai.

Mulai 6 Disember ini hingga 15 Januari tahun hadapan, pihaknya telah mengedarkan risalah dan keratan kupon dalam akhbar Utusan Borneo untuk promosi kombo bagi menu nasi ayam.

Pihaknya juga dalam usaha untuk memohon persijilan halal daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan masih menunggu lesen perniagaannya dikeluarkan terlebih dahulu.

Food In telah mengadakan majlis penyampaian hadiah dan pengenalan produk baharu itu baru-baru ini.

Antara pemenang yang menerima hadiah Ipad ialah Rodziah Sendi, hadiah tempat pertama berupa ‘Steamer’ jenama Tefal diberikan kepada Hasmah Edi.

Manakala, pengisar jenama Philip dimenangi oleh Habsah Ahmad, barangan Tupperware dibawa pulang oleh Mohd Ivan Hussein dan telefon bimbit Oppo Joy dimenangi oleh Baharin Matali.

Premis Food In terletak bersebelahan premis pembayaran kupon Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Tingkat Bawah, No.9 Pusat Komersil Bangunan Al-Idrus, Jalan Satok di sini.

Untuk tempahan dan pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian 082-425519.