Nota soalan tentang masyarakat Suluk ditemui di rumah tertuduh

0

KOTA KINABALU: Nota bertulis tangan mengandungi beberapa soalan tentang masyarakat Suluk di Sabah ditemui di dalam rumah seorang tertuduh dalam perbicaraan pencerobohan Lahad Datu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Semasa diminta mengecamkan nota itu di mahkamah, pegawai polis Kinabatangan Inspektor Mohammad Azwan Abdul Wahab, 31, yang ketika itu merupakan pegawai penyiasat jenayah di ibu pejabat polis Beluran, berkata nota itu, yang dirampas dari rumah Pabblo Alie, ditulis dalam bahasa Malaysia.

Nota itu memaparkan kajian berkaitan kehidupan sosial masyarakat Suluk di Sabah.

Ia dijumpai di dalam sebuah bilik kecil yang dikunci dengan mangga di rumah Pabblo di Kampung Muanad 1, Beluran, ketika polis datang untuk menahannya dan menggeledah rumahnya untuk mencari barangan yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan itu, kira-kira jam 5.15 petang pada 10 April tahun lepas.

Mohammad Azwan memberi keterangan dalam perbicaraan 30 tertuduh yang didakwa dengan pelbagai kesalahan berhubung pencerobohan sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari tahun lepas.

Beliau turut mengecamkan dokumen bersalut plastik dicetak perkataan ‘Datu Latip Punjungan Kiram II’ yang turut mengandungi nama, antaranya Sultan Datu Jamalul Kiram, Sultan Datu Esmail Kiram dan Datu Agbimuddin Kiram Raja Muda.

Satu lagi dokumen bersalut plastik tertera perkataan ‘The British of North Borneo’ dan ‘The Appointment’.

“Terdapat tandatangan ‘Datu Punjungan Kiram (Raja Muda Sultan Sulu, Borneo Utara British),” katanya.

Dokumen lain yang dikenal pasti pegawai polis itu sebagai barangan yang dirampas beliau dan pasukannya adalah lima keping kertas bersalut plastik memaparkan salasilah keluarga ‘Kesultanan Sulu, Borneo Utara’ selain keratan akhbar dengan tajuk ‘Mahkota Sultan Hilang’.

Di dalam kandang tertuduh semalam adalah 27 warga Filipina dan tiga rakyat tempatan yang berdepan satu atau beberapa pertuduhan.

Mereka didakwa menganggotai kumpulan pengganas, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama