Tarikh tutup penyertaan Anugerah SERASI 2014/2015 dilanjutkan hingga 15 Feb 2015

0

KUCHING: Tarikh tutup penyertaan Anugerah Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) Sarawak 2014/2015 kini dilanjutkan hingga 15 Februari tahun hadapan.

Anugerah anjuran Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Shell Malaysia dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan agensi lain itu terbuka kepada semua sekolah rendah dan menengah, kerajaan atau bantuan kerajaan termasuk sekolah agama, berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains MARA di seluruh Sarawak.

Tujuannya adalah untuk mengiktiraf dan menghargai usaha berterusan yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah dalam mendidik warganya dari segi kesedaran, pengetahuan, sikap positif dan nilai murni alam sekitar serta menjaga dan mengurus alam sekitar dan sumber asli di sekolah.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan bagi anugerah itu, antaranya Anugerah Khas Bintang SERASI, SERASI Keseluruhan, Pengurusan Alam Sekitar Terbaik, Kegiatan Kesedaran Alam Sekitar Terbaik, Penghijauan Sekolah Terbaik, Kebersihan dan Keindahan Persekitaran Sekolah Terbaik.

Sekolah yang memenangi Anugerah Khas Bintang SERASI bakal membawa pulang piala pusingan, sijil serta wang tunai RM5,000.

Manakala, pemenang Anugerah SERASI Keseluruhan akan membawa pulang piala, sijil serta wang tunai RM4,000 dan pemenang kategori lain pula masing-masing akan mendapat piala, sijil dan wang tunai RM3,000.

Maklumat lanjut dan borang penyertaan Anugerah SERASI boleh dimuat turun dari laman sesawang NREB di www.nreb.gov.my atau menghubungi Rahmah Biah atau Nur Aida Nur Azman menerusi talian 082-319526.