Kementerian bincang bersama pembekal dan farmasi supaya harga ubat terkawal

0

GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan pihak berkepentingan dan farmasi bagi memastikan harga ubat-ubatan terkawal berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun depan.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan pembekal dalam usaha untuk mengawal harga ubat-ubatan supaya harga tidak naik terlalu tinggi.

“Kita akan berunding dengan pembekal, pihak berkepentingan dan farmasi bagi mendapatkan cara terbaik untuk mengawal harga. Kalau naik harga pun mereka kena berunding dengan kementerian dan tidak boleh menaikkan sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pusat khidmat sehenti Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, di sini semalam.

Hilmi berkata kementeriannya telah mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya sebanyak 2,900 ubat-ubatan penting dikecualikan daripada GST dan senarai harga akan dikeluarkan tahun depan untuk maklumat orang awam.

Berhubung isu premis makanan yang kotor dan penggantungan lesen selama 14 hari, Hilmi berkata kementerian sedang mengkaji untuk melantik agensi swasta sebagai skuad penguat kuasa.

Beliau berkata tambahan anggota penguatkuasa perlu berikutan kekurangan tenaga kerja di peringkat kementerian, pihak berkuasa tempatan dan agensi untuk menjalankan pemeriksaan.

Sementara itu, Hilmi berkata pelancongan perubatan di Malaysia mendapat sambutan hangat dengan peningkatan pendapatan sebanyak 15 peratus sejak dua tahun lepas.

“Malaysia menerima 671,000 pelancong kesihatan pada tahun 2012 dan bilangan itu meningkat kepada 770,000 pada tahun 2013 iaitu pertumbuhan sebanyak 15 peratus dalam tempoh dua tahun yang lalu.

“Dari segi jumlah pendapatan yang dihasilkan, hasil pelancongan perubatan meningkat sebanyak 16.2 peratus kepada RM690.2 juta pada 2013 daripada RM594 juta pada tahun 2012,” jelasnya. — Bernama