Kementerian Kesihatan siap siaga hadapi banjir

0

TAMPIN: Kementerian Kesihatan sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di seluruh negara, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata antara persediaan yang dilakukan kementerian ialah memastikan penyakit berjangkit tidak berlaku dalam kalangan mangsa banjir.

“Kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan penyakit berjangkit tidak berlaku dalam kalangan mangsa banjir.

“Semua hospital dan klinik kesihatan diarah bersiap sedia membantu orang ramai mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis peletakan batu asas sekolah baharu SJKT Ladang Regent, Gemencheh dekat sini, semalam.

Dr Subramaniam berkata kakitangan Jabatan Kesihatan juga ditempatkan di pusat pemindahan untuk membuat pemantauan sebelum dan selepas banjir.

Mengenai SJKT Ladang Regent, Dr Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC menyambut baik langkah IOI Plantation Bhd menyediakan tapak untuk membina bangunan sekolah yang baharu.

Langkah syarikat perladangan itu menyumbangkan tanah seluas 1.215 hektar untuk pembinaan bangunan baharu SJKT Ladang Regent, yang terletak tidak jauh dari pekan Gemencheh, membolehkan anak-anak masyarakat India di Tampin meneruskan pelajaran mereka, katanya.

SJKT Ladang Regent akan dibina dengan kos RM8.5 juta di bawah peruntukan Pakej Rangsangan Khas (PRK) 2012 dan dijangka siap pada Ogos 2016.

Sekolah itu akan mempunyai dua blok bangunan setingkat dengan enam bilik darjah serta kemudahan lain seperti makmal komputer, perpustakaan, kantin dan dewan. — Bernama