Sarawak bakal jadi antara gergasi tenaga dunia

0

Oleh Henrietta Liza

 

KUCHING: Unit turbin penjana tenaga pertama Projek Hidro Elektrik Murum (HEP) sudah selesai menjalani ujian dan sekarang bersedia untuk beroperasi.

Ini adalah unit pertama daripada empat unit turbin yang telah menjalani ujian ketat untuk mempersiapkan HEP Murum, projek hidroelektrik terbesar di Sarawak, untuk pentauliahan sepenuhnya menjelang suku kedua tahun depan.

Menurut kenyataan akhbar Sarawak Energy Berhad (SEB), satu majlis telah diadakan di penjana HEP untuk menandakan penyerahan rasmi unit turbin pertama kepada SEB daripada kontraktor Three Gorges Development Company (M) Sdn Bhd semalam.

Turut hadir menyaksikan penyerahan dan merasmikan operasi set turbin pertama ialah Pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi yang diiringi pasukan pengurusan kanan syarikat yang diketuai naib presiden kanan bagi pelaksanaan projek Einar Kilde dan naib presiden bagi hidro Polycarp H.F. Wong.

Three Gorges diwakili pengurus besar syarikat, Zhao Jian Qiang.

“Dengan pentauliahan sepenuhnya HEP Murum pada tahun depan, adunan penjanaan kita adalah kira-kira 75 peratus hidro dan 25 peratus termal. Ini akan mewujudkan tenaga yang lebih selamat, mampan dan berpatutan untuk menjana agenda pembangunan negara,” kata Hamed pada majlis tersebut.

Beliau menambah, strategi kerajaan negeri ialah untuk memajukan SCORE dengan mengguna pakai potensi kuasa hidro di negeri ini bagi memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan membawa kemakmuran bagi rakyat Sarawak.

Menurutnya, Sarawak Energy juga di landasan untuk meningkatkan pengeluaran dan penggunaan tenaga di negeri ini sebanyak lapan kali ganda, daripada kira-kira 5,000GWh pada 2009 kepada kira-kira 40,000GWh setahun pada 2020.

“Sarawak lambat-laun akan diiktiraf sebagai antara gergasi tenaga seperti Norway, Iceland dan Kanada untuk menjadi salah sebuah wilayah yang paling kaya dengan tenaga di dunia yang diukur per kapita. Maka itu pentauliahan empangan Murum hanyalah ‘penamat kepada permulaan’,” tambahnya.

Berucap mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datuk Torstein Dale Sjotveit ialah Polycarp Wong yang berkata, dengan pentauliahan sepenuhnya HEP Murum, bekalan tenaga Sarawak akan mencapai kira-kira 4,500MW untuk membekalkan tenaga yang telah dijanjikan dalam SCORE Fasa 1.

“Pembangunan HEP Murum turut menandakan langkah besar dalam perjalanan pembangunan mampan Sarawak Energy menerusi penyertaan strategik kami sebagai rakan kelestarian International Hydro Power Association (IHA).

“Ini adalah satu perkara yang kami ingin beri fokus selanjutnya terutamanya dari segi cara kami memajukan projek kuasa hidro dengan perspektif jangka panjang bagi penambahbaikan berterusan.

“Protokol Kelestarian IHA yang membimbing Sarawak Energy meliputi spektrum topik-topik kelestarian yang luas seperti sosial, alam sekitar, keselamatan dan pentadbiran.

“Menerusi kerja awal kami di sini, saya mengalu-alukan hari apabila Sarawak Energy menjadi penanda aras global bagi kelestarian dalam pembangunan kuasa hidro,” kata Wong.

HEP Murum adalah projek hidroelektrik kedua milik Sarawak Energy selepas HEP Batang Ai yang ditauliahkan pada 1984.