GST akan tampung kesan penurunan harga minyak

0

Kerajaan buat persiapan sewajarnya jika harga minyak mentah turun ke paras bawah AS$70 setong, kata Idris

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun depan akan dapat menampung kesan penurunan harga minyak mentah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata kerajaan juga sudah membuat persiapan sewajarnya bagi menangani keadaan sekiranya harga minyak mentah turun ke paras bawah AS$70 setong.

Semalam, harga minyak mentah dunia susut kepada RM240 (AS$69) setong.

“Ia akan memanfaatkan negara kita kerana dapat menggalakkan pertumbuhan sektor lain seperti pelancongan dan kewangan manakala segmen eksport turut menjadi lebih berdaya saing,” katanya yang juga Ketua Pegawai Operasi Unit Pengurusan dan Pelaksanaan (PEMANDU).

Bercakap pada sesi soal jawab Persidangan Korporat Muda Malaysia Keenam di sini, semalam, Idris berkata penurunan harga minyak itu mungkin mencetuskan rasa panik dalam kalangan orang ramai.

“Namun, melihatnya dari perspektif berbeza, impaknya ialah tiada lagi subsidi minyak dan pendapatan berkurangan tetapi ini dapat diseimbangkan menerusi penjimatan yang terkumpul hasil tindakan pengurangan atau pemansuhan keseluruhan subsidi itu,” katanya.

Selain itu, kata Idris, selaras dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai hab perkhidmatan dan peralatan medan minyak pada 2020, industri berkenaan perlu mempertingkat aktiviti hiliran dan huluannya.

Sementara itu, Pengerusi Shell Malaysia, Iain Lo menyifatkan pasaran minyak dan gas Malaysia (O&G) sudah berkembang.

Bagaimanapun, ia tidak dianggap sebagai pasaran matang kerana kepakaran serta perkhidmatannya masih lagi diimport.

Sebagai unjuran, katanya, Malaysia kekal sebagai destinasi menarik disebabkan regim kewangannya yang stabil.

“Ia menjadi sumber tarikan dan lebih stabil tidak seperti segelintir negara yang mengenakan cukai baharu ke atas syarikat yang diandaikan meraih keuntungan besar,” katanya.

Menurut Lo, perkongsian kontrak antara kerajaan dengan pemain industri turut menjadi teras menarik syarikat besar minyak dan gas menyertai pasaran Malaysia. — Bernama