Bekerjasamalah dengan kaum, agama lain

0

Oleh Clare Cinderella //

Umat Kristian di negeri ini perlu ketepikan perbezaan politik, mazhab: Manyin

BERARAK: Manyin mengangkat bendera, selepas simbolik pelepasan para peserta perarakan, sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain.

MIRI: Umat Kristian di negeri ini perlu mengetepikan perbezaan politik dan mazhab mereka sebaliknya menjalin kerjasama dengan rakyat berbilang kaum daripada agama lain dalam keadaan aman damai demi mencapai pembangunan dan kemajuan negeri dan negara amnya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata Hari Krismas yang ditunggu oleh penganut Kristian adalah perayaan yang diraikan dengan penuh kasih sayang dan penghormatan.

Amalan itu sejajar dengan konsep 1Malaysia di negeri ini yang mengutamakan keamanan dengan rakyatnya saling menghormati, memberi perhatian, kebajikan dan saling mengasihi terutama kepada golongan kurang berkemampuan dan tidak berdaya.

“Krismas adalah sesuatu yang sentiasa dilakukan dengan kasih sayang dan keamanan dan oleh kerana itu, kita berharap dan berdoa untuk keamanan dan keharmonian negeri dan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 30,000 penganut Kristian yang berhimpun di Dataran Kipas Miri sempena Perarakan Hari Krismas 2014 di sini malam kelmarin.

Perarakan tahunan bagi peringkat bahagian Miri itu dianjurkan bersama oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan 15 gereja di seluruh Miri dengan pelancaran perarakannya telah dirasmikan oleh Manyin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Buat pertama kalinya pada tahun ini, para pemimpin parti-parti pembangkang, seperti Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling (DAP) telah dijemput untuk menyertai pelancaran perarakan tersebut.

Turut hadir Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, pengerusi penganjur Pastor Semilee Tajau dan Biskop Gereja Katolik Rt Rev Richard Ng.

“Krismas membawa khabar gembira, cinta dan kedamaian.

“Itulah sebabnya ia tidak mempunyai sempadan dan kerana ini jugalah sebab mengapa kita mempunyai pemimpin-pemimpin pembangkang untuk menyertai kita dalam sambutan ini.

“Setiap seorang daripada kita di sini datang dengan satu hati dan satu fikiran dan untuk berkongsi dan menyebarkan mesej kasih sayang, keamanan dan keharmonian untuk kebaikan negara dan rakyat,” tambahnya.

Sehubungan itu, kata Manyin adalah penting bagi rakyat untuk bersatu dan mengetepikan perbezaan agama, kaum dan politik mereka kerana ia adalah punca utama kemelut dan konflik di dunia.

“Semua kita di sini cuba untuk berkongsi kasih sayang antara satu sama lain, tidak kira daripada mazhab mana kita datang, sama ada Katolik, Anglican, SDA, SIB, Methodist dan agama serta kepercayaan lain, kita perlu ketepikannya demi keamanan dan perpaduan.

“Masalah di dunia biasanya disebabkan oleh agama, kaum dan perbezaan politik.

“Namun masih ada harapan di dunia ini walaupun kita semua berhadapan dengan kesemua perbezaan kerana masih ada kasih sayang, cinta dan saling mengasihi antara kita,” kata Manyin.

Jelas beliau, sejajar dengan tema tahun ini, iaitu ‘Tuhan Bersama Kita’, katanya Tuhan sentiasa membantu umatnya dan cuba untuk membantu mereka yang berdoa kepadanya.