Soalan UPSR bocor: 5 Januari sebutan semula kes jurutera

0

KEMAMAN: Mahkamah Sesyen Kemaman semalam menetapkan 5 Jan depan untuk sebutan semula kes seorang jurutera, P.Prem Kumar, 34, yang didakwa berhubung kebocoran kertas soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September lalu.

Hakim Rofiah Mohamad menetapkan tarikh itu untuk serahan dokumen oleh peguam tertuduh, P.S. Moorthy.

Prem Kumar, yang be-kerja di sebuah syarikat bahan kimia di sini, didakwa atas lima pertuduhan memiliki beberapa helaian kertas soalan UPSR bagi mata pelajaran Bahasa Tamil, Sains dan Matematik pada September lepas melalui telefon pintar jenis Iphone5.

Kejadian didakwa berlaku di Kilang Malay Sino Chemical PT4406 di Kawasan Perindustrian Telok Kalong dekat sini pada jam 1 petang, antara 9 hingga 15 Sept lalu.

Pertuduhan dibuat meng-ikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih tujuh tahun.

Ketika kes itu mula di-sebut pada 10 Nov lepas, tertuduh yang berasal dari Ipoh, Perak, mengaku tidak bersalah atas kelima-lima pertuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Zulkipli. — Bernama