Ekopsikologi sebagai alternatif tingkat komitmen terhadap Alam Sekitar

0

IMAGINASI: Aktiviti komponen pertama dan kedua, imaginasi berpandu ‘Aku Sebatang Pokok’.

SUDAH pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan komitmen umum termasuk belia terhadap alam sekitar terutama amalan gaya hidup mesra alam, namun masalah alam sekitar terus berlarutan sehingga pada hari ini. Semakin banyak tanah digondolkan bagi tujuan pembangunan, pusat pembuangan sampah semakin kritikal, pembaziran air, isu jerebu dan sebagainya. Semakin tinggi pengetahuan dan kesedaran seseorang individu tentang alam sekitar, belum menjamin akan diterjemahkan kepada tindakan.

Kajian daripada pakar ekopsikologi menyatakan tingkah laku distruktif manusia terhadap alam sekitar adalah disebabkan kewujudan jurang dalam hubungan di antara alam sekitar dan manusia. Jurang hubungan ini timbul kerana kesihatan mental ekologi dan spiritual alam sekitar individu terbabit terpisah akibat amalan gaya hidup dualism. Amalan gaya hidup dualism menyebabkan manusia melihat apa yang dilakukan dalam kehidupan ini tiada kaitan dengan alam sekitar, spiritual dan unsur kejiwaan. Amalan dualism telah menyebabkan manusia merasakan pemilikan mutlak terhadap apa yang ada di bumi. Secara tidak langsung, tindakan yang dilakukan hanya untuk memenuhi keperluan diri sendiri tanpa memikirkan entiti lain yang sama-sama berkongsi dunia ini. Amalan dualism juga menyebabkan kehidupan manusia semakin jauh daripada hukum-hukum ketuhanan.

Justeru, kita perlu mencari alternatif dalam usaha meningkatkan komitmen belia terhadap alam sekitar terutama dalam zaman globalisasi ini di mana belia semakin terpengaruh dengan amalan dualism dalam kehidupan.

Model Pendidikan Alam Sekitar yang menekankan peningkatan pengetahuan sahaja tidak lagi relevan. Kita perlu menjentik psikologi dalaman individu agar setiap individu merasai kepentingan hubungan di antara alam sekitar dan manusia. Bukan hanya penting, namun melihat lebih jauh dari itu yakni dikaitkan dengan unsur spiritual, kejiwaan dan memenuhi tanggungjawab sebagai seorang hamba Tuhan.

 

Elemen Penting Dalam Ekopsikologi

 

Bidang ekopsikologi menggabungkan ekologi dan psikologi mula muncul sebagai respons akibat keregangan hubungan manusia dengan alam sekitar. Ekopsikologi menekankan tiga komponen penting dalam pelaksanaan pendidikan alam sekitar iaitu:

 

(1) Pemulihan hubungan di antara alam sekitar dengan manusia;

(2) Kesedaran akan kemusnahan salah satu daripadanya – sama ada alam sekitar atau manusia akan memusnahkan kedua-duanya;

 

(3) Memasukkan unsur spiritual, kejiwaan dalam alam sekitar.

Pemulihan hubungan di antara alam sekitar dengan manusia dilakukan dengan penerapan metafora alam sekitar sebagai sebahagian daripada kehidupan manusia yakni menganggap alam sekitar seperti diri sendiri dan ahli keluarga. Ini kerana, kita tidak akan sanggup berkorban untuk sesuatu jika bukan untuk diri sendiri atau keluarga.

Bidang ekopsikologi menekankan pengalaman langsung melalui latihan transpersonal psikologi agar peserta merasai proses kehidupan entiti alam sekitar. Misalnya, salah satu aktiviti ialah ‘Satu Hari

Di Dalam Kolam’. Dengan menggunakan arahan imaginasi berpandu berasaskan latihan transpersonal psikologi, peserta akan dibawa menerokai kehidupan seekor ikan di dalam kolam. Peranan imaginasi berpandu ialah agar peserta mencuba untuk merasai kehidupan sebagai seekor ikan agar dapat menjentik domain afektif peserta seperti rasa empati, sedih, kasihan.

Selain aktiviti secara imaginasi berpandu, aktiviti secara pengalaman langsung, main peranan dan lain-lain boleh digunakan namun penggunaan transpersonal psikologi adalah yang paling sesuai dalam usaha menjentik emosi dalaman seseorang individu. Aktiviti pendidikan alam sekitar dalam komponen pertama menumpukan kepada matlamat agar manusia menganggap alam sekitar seumpama keluarga mereka mahupun sebahagian daripada diri mereka sendiri.

Komponen kedua ialah memberi penekanan kepada aktiviti yang memberi kesedaran kepada manusia bahawa jika salah satu entiti musnah, kedua-duanya akan musnah. Misalnya, melalui aktiviti seperti ‘Satu Hari Di Kolam’, penekanan adalah kepada impak kepada manusia jika alam sekitar dimusnahkan.

Aktiviti yang dilakukan hendaklah menjentik dalaman peserta agar dapat mengaitkan setiap apa yang dilakukan oleh mereka akan memberi kesan kepada alam sekitar dan akhirnya memberi kesan kepada diri mereka. Selain menggunakan latihan transpersonal psikologi, pengalaman langsung juga boleh digunakan dalam merangka aktiviti untuk mencapai komponen kedua. Pengalaman langsung yang diberikan haruslah bersifat lokal khususnya impak kepada kehidupan seharian peserta.

Justeru, para belia pada hari ini perlu diberikan ruang agar merasai pengalaman langsung sama ada melihat atau merasai sendiri akibat impak tingkah laku

distruktif manusia terhadap alam sekitar. Di akhir latihan, biarkan peserta membuat aku janji alternatif tindakan yang boleh dilakukan oleh diri mereka sendiri bagi menangani isu lokal itu.

Komponen ketiga ialah memasukkan unsur spiritual dan kejiwaan dalam aktiviti pendidikan alam sekitar. Seharusnya, komponen ini menekankan kehidupan nondualism kepada belia.

Aktiviti transpersonal psikologi melalui latihan berkomunikasi dengan alam sekitar boleh dilakukan. Bila melakukan latihan berkomunikasi tersebut, masukkan unsur tanggungjawab menuruti perintah Tuhan melalui pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Contoh aktiviti ialah, biarkan air paip atau air hujan membasahi peserta, minta peserta berkomunikasi dengan air tersebut.

Misalnya mengucapkan terima kasih kepada air kerana dapat mandi, minum dan sebagainya. Minta peserta kaitkan dengan penciptaan air melalui kitaran air dan seterusnya kaitkan dengan keupayaan Tuhan dalam menghasilkan kitaran air tersebut. Kemudian, persoalkan apa tindakan yang telah mereka lakukan jika mengakui keagungan Tuhan dan catatkan dalam diari ‘JanjiKu’.

Pendidikan alam sekitar kepada belia harus ditambah baik strategi pendekatannya khususnya dalam menjentik kesedaran dalaman setiap individu. Penambahbaikan daripada strategi yang sedia ada dengan kaedah ekopsikologi diharap akan dapat meningkatkan komitmen belia terhadap kesedaran penjagaan alam sekitar khususnya amalan gaya hidup mesra alam.

Walaupun tumpuan pendekatan ekopsikologi adalah individu namun penjagaan alam sekitar harus bermula dari setiap individu. Jika setiap individu memainkan peranan masing-masing, pasti alam sekitar untuk generasi akan datang akan lebih terpelihara.

Maklumat lanjut tentang pendekatan ekopsikologi boleh didapati daripada buku: Tiwi Kamidin (2011). Pendekatan ekopsikologi dalam pelaksanaan pendidikan alam sekitar. Serdang: Universiti Putra Malaysia.