Mohonlah pinjaman baiki rumah panjang

0

Oleh Kelvin Lambai

 

ENGKILILI: Penduduk rumah panjang diminta memohon pinjaman perumahan rumah panjang bagi membantu mereka mem-baiki rumah-rumah panjang yang perlu dibaik pulih.

Menteri Muda Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata permohonan pinjaman rumah panjang perlu dibuat sendiri di pejabat kementerian itu di Kuching.

“Selain itu, rumah-rumah panjang berminat membuat pinjaman boleh menjemput pegawai-pegawai di kementerian mengadakan sesi dialog atau penerangan,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Ke-selamatan Kampung (JKKK) Rumah Baie, Merio, Tambak di sini kelmarin.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang ber-kata, setiap rumah panjang yang memohon pinjaman diberikan sejumlah RM15,000 untuk membeli perkakas rumah mereka.

“Mereka yang diluluskan permohonan perlu membayar balik pinjaman tersebut sebanyak RM72 sebulan tempoh 25 tahun.

“Kita rasa peminjam-peminjam mampu membayar balik pinjaman seba-nyak RM72 sebulan kerana bayaran balik untuk sebulan amat rendah,” jelasnya.

Harden berkata, rumah panjang yang ingin memohon pinjaman hendaklah mempunyai sebanyak 10 pintu ke atas.

“Sebelum ini, pinjaman perumahan ditawarkan oleh kementerian sejumlah RM10,000 dengan kadar bayaran RM65 sebulan untuk tempoh 25 tahun,” jelasnya.

Pada 2013, Kementerian Perumahan menyediakan satu lagi pakej baharu bagi pinjaman rumah panjang iaitu Pakej Pinjaman Perumahan Rumah Panjang Mesra Rakyat.

“Ini merupakan salah satu skim baharu pinjaman perumahan rumah panjang diluluskan kementerian,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Peter Umak, Walikota Majlis Daerah Sri Aman Richard Tawan Sedu, Tuai Rumah Roy Edward Entalai dari Kampung Selindong Ili serta pegawai-pegawai Kementerian Perumahan.

Harden turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM5,000 kepada JKKK manakala RM3,000 kepada Biro Wanita rumah panjang itu.