Fokus tanaman getah berkelompok bantu ekonomi penduduk luar bandar

0

LUBOK ANTU: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis menasihat rakyat pedalaman Ulu Engkari supaya memberi tumpuan dengan tanaman getah secara berkelompok untuk mempertingkat taraf ekonomi masing-masing.

Menurutnya, rakyat tinggal di Ulu Engkari boleh berkecimpung dalam bidang penanaman getah secara berkelompok kerana keadaan tanah di kawasan penempatan mereka berbukit.

Beliau menjelaskan, ini merupakan salah satu peluang baik bagi penduduk luar bandar mempertingkat pendapatan  keluarga masing-masing.

“Usahakan tanaman getah secara berkelompok bagi  membantu penduduk luar bandar memajukan ekonomi dari semasa ke semasa,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Mesra Pemimpin di Rumah Kaunselor Weslley Bakak, Stamang, Ulu Engkari, Lubok Antu , semalam..

Dalam majlis itu Harden mengumum peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM9,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Stamang dengan RM3,000 lagi kepada  biro wanita rumah panjang itu.

Harden turut menasihat ketua kaum supaya rajin menghadir diri dalam setiap majlis rasmi di kawasan penempatan masing-masing.

Ini penting bagi membolehkan mereka bertukar-tukar pandangan dengan ketua kaum lain sebelum ia boleh dikongsi bersama anak buah masing-masing, ujarnya.

“Saya menasihatkan ketua kaum di sini supaya menyebar dasar pembangunan kerajaan agar penduduk dapat memajukan hidup masing-masing,” kata beliau.

Turut hadir pada majlis itu Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Sri Aman Cassiddy Moris dan ketua-ketua masyarakat sekitar Lubok Antu.