18 atlet sertai Kejohanan Kebangsaan Tang Soo Do di Perak

0

MIRI: Seramai 18 atlet Persatuan Tang Soo Do Miri telah menyertai Kejohanan Kebangsaan Tang Soo Do Ke-21 di Perak bermula hari ini (12 Disember) hingga 14 Disember ini.

Kesemua atlet dari Miri yang diketuai Presiden Persatuan Tang Soo Do Miri merangkap Ketua Jurulatih Master Tiong Ching Chiong, tiba di Perak semalam.

Sebelum bertolak ke Perak, pasukan terbabit telah mendapat kata-kata semangat dan dorongan daripada Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin yang turut menyerahkan bendera Sarawak.

Lee dalam kata-kata dorongannya berharap para atlet berkenaan mampu melakukan yang terbaik bukan sahaja untuk meraih pingat, tetapi turut mengharumkan nama Miri dan Sarawak amnya di Perak.

Justeru, Lee turut berharap agar sukan tang soo do dimasukkan sebagai salah satu acara dalam Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2016 kelak.

Sementara itu, menurut Master Tiong, para atlet terbabit telah bertungkus-lumus melakukan latihan dan amat bersedia untuk kejohanan tersebut.

Beliau yakin para atlet berkenaan mampu melakukan yang terbaik berdasarkan komitmen yang diberikan dan hasil daripada pemilihan atlet yang terbaik di kalangan yang berpotensi.

Kejohanan berkenaan merupakan anjuran Persatuan Tang Soo Do Perak dan disertai kira-kira 200 atlet masing-masing dari Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Sarawak, Kelantan, Melaka dan Wilayah Persekutuan.