Pergiatkan usaha tingkat kesedaran terhadap PIDM

0

Ramai pengguna kewangan tidak tahu peranan PIDM

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Usaha perlu dipergiatkan lagi untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) daripada 53 peratus setakat penghujung 2013 ke tahap yang lebih tinggi.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Bahagian Hal Ehwal Awam dan Perhubungan) PIDM Hasina Mohamed pada taklimat bersama pengamal media mengenai Perlindungan Kewangan Pengguna di sini semalam.

Menurut Hasina, meskipun PIDM telah wujud selama 10 tahun di Malaysia, namun masih ramai pengguna kewangan yang tidak mengetahui akan fungsi dan peranan PIDM dalam melindungi pengguna.

“PIDM merupakan sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta PIDM) pada 2005 untuk mentadbir sistem insurans deposit nasional bagi melindungi pendeposit.

“Mulai 31 Disember 2010, peranan PIDM telah diperluaskan bagi mentadbir Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans yang menyediakan perlindungan kepada pemilik sijil takaful dan polisi insurans,” katanya.

Jelas Hasina lagi, menerusi Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans yang ditadbir oleh PIDM, pendeposit serta pemilik sijil takaful dan polisi insurans kini menikmati perlindungan yang eksplisit di sisi undang-undang bagi deposit bank serta manfaat takaful dan insurans yang layak.

Ini katanya sejajar dengan mandat PIDM bagi menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan negara.

“PIDM menyediakan perlindungan sehingga RM250,000 bagi simpanan bank dan sehingga RM500,000 bagi manfaat takaful dan insurans sekiranya sesebuah institusi ahli menjadi muflis,” katanya.

Bagi membantu pengguna menguruskan kewangan dengan baik, PIDM menyediakan tiga langkah mudah iaitu pertama Ketahui Produk Kewangan Anda, Ketahui Risiko Kewangan Anda dan Ketahui Hak Kewangan Anda.

Maklumat berguna mengenai pengurusan kewangan boleh diperolehi daripada organisasi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Biro Perkhidmatan Kewangan (FMB), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Layari www.pidm.gov.my untuk maklumat lanjut mengenai PIDM atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-1266 dari Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum) dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.