Selangor, Kuala Lumpur, Kedah sertai Kejohanan Kabaddi Terbuka Sarawak

0

KUCHING: Pasukan dari Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Kabaddi Terbuka Sarawak di SMK Kuching High pada hujung minggu ini.

Ketiga-tiga pasukan tersebut akan bersaing dalam kategori lelaki dalam kejohanan yang julung kalinya dibuka kepada peserta dari luar Sarawak.

Pengerusi penganjur Ramachandran Ramasamy menjangka saingan bagi merebut kejuaraan sangat mencabar kerana standard peserta negara kian meningkat.

“Kita menjangkakan laluan sukar bakal dihadapi atlet bayangan SUKMA negeri pada kejohanan ini namun ia akan menjadi pendedahan berguna buat mereka sebagai persediaan menghadapi SUKMA XIX pada 2016 nanti,” katanya semalam.

Ramachandran yang juga presiden Persatuan Kabaddi Sarawak (SKA) menjelaskan, dua pasukan lelakinya menyasarkan untuk melangah ke final dan bersedia untuk memberi tentangan sengit kepada pencabar dari Semenanjung Malaysia.

Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah sentiasa menempatkan diri dalam senarai tiga pasukan terbaik dalam SUKMA.

“Pertandingan diadakan mengikut format liga di mana kategori lelaki akan menyaksikan lima pasukan mengambil bahagian manakala tiga pasukan tempatan termasuk atlet bayangan dan pelapis akan menyertai acara wanita,” ujarnya.

Pertandingan bermula pada Sabtu jam 8.30 pagi dan berakhir pada Ahad jam 12 tengah hari.

Bagi melancarkan proses pertandingan, Persatuan Kabaddi Malaysia (MKA) akan membantu dengan menyediakan empat hakim.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramachandran berkata SKA akan membida agar kabaddi turut dipertandingkan sebagai sukan bukan pilihan pada SUKMA 2016.