Skuad muda raih gangsa

0

BANGGA: (Dari tujuh kiri, barisan belakang) Lucas, Ketua Kontinjen Affandi Keli, Pengarah Teknikal SFDP Alan Vest dan Pengiran merakamkan kenangan bersama pemain dan pegawai skuad Sarawak.

Pengiran bangga skuadnya lepasi sasaran asal dalam acara bola sepak

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Pemain dari Program Pembangunan Bola Sepak Sarawak (SFDP) tidak menghampakan negeri apabila berjaya membawa pulang gangsa dalam acara bola sepak Sukan Persahabatan Kawasan Pertumbuhan Asia Tenggara Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-8 yang melabuhkan tirainya kelmarin.

Skuad bimbingan bekas jurulatih Sarawak, Pengiran Bala itu membenam wakil dari negara jiran Brunei Darussalam 4-0 dalam perebutan tempat ketiga.

Kemenangan itu cukup bermakna bagi Pengiran selepas melihat anak-anak buahnya ditundukkan skuad sama dengan 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan A.

Sarawak berjaya bangkit dengan menewaskan tuan rumah, Wilayah Persekutuan Labuan 3-0 pada perlawanan kedua untuk melangkah ke separuh akhir.

Impian skuad muda untuk mara ke final bagaimanapun disekat oleh Kalimantan Timur (KALTIM) yang menewaskan mereka dengan 2-0.

“Tahniah kepada semua pemain atas kejayaan merangkul gangsa. Ini merupakan bonus untuk skuad kerana sasaran asal kita hanya untuk mara ke separuh akhir.

“Saya cukup berbangga dengan komitmen semua pemain yang begitu bersungguh untuk sampai ke tahap ini sekali pun terpaksa mengharungi perlawanan setiap hari,” jelas Pengiran ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, kebanyakan pemain yang diturunkan pada kempen kali ini adalah muka baharu namun mempunyai potensi yang sangat besar.

“Kebanyakan pemain muda kita mempunyai potensi yang sangat besar namun mereka perlu pendedahan seperti ini untuk terus meningkatkan prestasi dari masa ke semasa.

“Malah, ramai di antara mereka boleh kita serap dalam skuad negeri untuk menghadapi SUKMA pada 2016 nanti,” tambah Pengiran.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Lucas Kalang Laeng melahirkan rasa gembira dengan pencapaian skuad muda negeri pada kempen kali ini.

Beliau juga berharap kejayaan itu akan mendorong mereka untuk terus berusaha meningkatkan corak permainan untuk mara lebih jauh dalam karier bola sepak.

Pada temasya tersebut, kontinjen Sarawak menyertai tujuh dari sembilan acara yang dipertandingkan iaitu olahraga, badminton, boling padang, memanah, bola tampar pantai, futsal dan golf (VIP).

Manakala acara yang tidak disertai bola keranjang dan sepak takraw.