Sungai Samarahan kembali berkocak

0

Oleh Wan Ali Amit //

Setelah hampir 30 tahun kini muncul pesta air Festival Batang Samarahan 2014 pada 27-28 Disember

BERENTAP: Beberapa buah perahu tersohor yang pernah menyertai pelbagai regata di Sarawak tahun ini.

KOTA SAMARAHAN: Setelah hampir 30 tahun air di Sungai Samarahan tenang kini muncul semula pesta air berprestij Festival Batang Samarahan 2017 bakal berlangsung di Tebingan Tanjung Bundong di sini pada 27 dan 28 Disember ini.

Regata Samarahan 2014 berlangsung dua hari itu Zalix Resources, Zalix Even Management dan Pejabat Daerah Samarahan.

Pengurus penganjur, Rozalix Edi Wahab berkata Festival Batang Samarahan ini bakal menyaksikan beberapa kategori perlumbaan perahu acara tujuh pekayuh, 15 pekayuh, 20 pekayuh serta acara berprestij ‘raja sungai’ (30 pekayuh).

“Selain pelbagai acara perlumbaan perahu, kita juga menampilkan acara kegemaran penduduk Samarahan iaitu pam ski,” katanya di sini semalam.

Menurut Rozalix, pesta air Festival Batang Samarahan bermula pada Sabtu (27 Disember) jam 9 pagi dengan acara pam ski.

Selepas itu, bermula jam 2 petang acara 20 pekayuh (saringan A) diikuti acara 15 pekayuh (saringan A), 7 pekayuh (saringan A) dan 30 pekayuh (saringan A).

“Perlumbaan diteruskan dengan acara 7 pekayuh (saringan B) dan acara terakhir 485119berlangsung jam 4.30 petang iaitu 15 pekayuh (saringan B),” jelasnya.

Rozalix memberitahu, pada Ahad (28 Disember) perlumbaan bermula jam 9 pagi dengan acara 20 pekayuh (saringan B), 20 pekayuh (saringan C) dan 7 pekayuh (saringan C).

Katanya, kemudian menyusul acara kegemaran ramai 30 pekayuh (saringan B) serta 15 pekayuh (saringan C) dan 20 pekayuh (saringan C).

“Sebelum acara penutupan dijangka jam 4.30 petang, beberapa acara akhir berlangsung iaitu acara 7 pekayuh, 15 pekayuh, 20 pekayuh serta pemburuan ‘raja sungai’ (30 pekayuh),” katanya.

Rozalix menarik perhatian, pesta air Festival Batang Samarahan ini hanya terbuka kepada warganegara Malaysia dari Bahagian Kuching dan Samarahan.

Menurutnya, beberapa perahu lumba tersohor di negeri ini akan dijemput untuk menyertai regata ini terdiri perahu Cahaya Zen, Puteri Balkis, Puteri Dang Balai, Puteri Berkaya, Puteri Maria, Yayasan Sarawak, Landas, Pusaka dan MPP (Majlis Perbandaran Padawan).

“Selain itu, perayu Raja Laut, Jang, ADBH, Lang Buana, Cahaya Intan (Empila), Cahaya Hujan Panas (Tanjung Bundong), Sri Pakat (Tambirat), Imbok (Landeh), Sri Urai, Dewa, Sri Muara Tuang dan banyak lagi,” katanya.

Rozalix berkata, pemilik-pemilik perahu yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan dengan menghubungi talian 013-5728927 (Saruldin) atau boleh didapati di gerai Udin Cafe, Pangkalan Feri Samarahan.

Katanya, tarikh tutup penyertaan pada 22 Disember ini dan cabutan undi akan diadakan pada 25 Disember di Pejabat Daerah Samarahan.

“Di samping itu, bagi mereka yang ingin berniaga pelbagai makanan dan minuman sepanjang pesta itu boleh mengambil borang untuk mendapatkan gerai khas disediakan dengan menghubungi nombor di atas,” katanya.

Rozalix menambah, Festival Batang Samarahan 2014 ini merupakan penutup tirai bagi regata seluruh Sarawak tahun ini dan pesta itu bakal diadakan setiap tahun.