Tiga pakej pelancongan baharu promosi Kuala Terengganu

0

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan memperkenalkan tiga pakej pelancongan baharu untuk mempromosikan Kuala Terengganu sebagai destinasi lawatan terkenal, sesuai statusnya Bandaraya Warisan Pesisir Air, mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee berkata tiga pakej pelancongan itu ialah Jejak Warisan, Jejak Makanan dan Jejak Ulama.

“Ia adalah hasil perbincangan bersama-sama agensi pelancongan dan dewan-dewan perniagaan yang ada untuk melonjakkan lagi sektor pelancongan di sekitar ibu negeri Terengganu ini kerana tumpuan sedia ada lebih kepada pelancongan di pulau-pulau peranginan dan Tasik Kenyir.

“Setiap pakej ini mempunyai keistimewaan dan keunikannya di mana kita tawarkan destinasi pelancongan sesuai dengan kehendak pelancong itu sendiri,” katanya kepada Bernama semalam.

Pakej Jejak Warisan atau Heritage Trail menonjolkan kekuatan seni budaya warisan negeri yang unik dengan pelancong akan dibawa melawat Masjid Sultan Zainal Abidin (Masjid Putih), Istana Maziah, Bukit Puteri, Bazar Warisan, Pasar Payang dan Kampung Cina.

Mohd Jidin berkata Kampung Cina yang terkenal dengan seni bina warisan yang unik berumur lebih 200 tahun itu terdiri daripada seni bina selatan China, Melayu, Eropah dan juga dari Siam dan Champa.

Katanya, di situ juga terdapat tokong Ho An dan juga lorong-lorong untuk tatapan pelancong seperti Lorong Penyu, Lorong Vertical Garden dan Lorong Payang di samping lukisan mural dan 3D seperti beca dan ‘tea lady’.

“Bagi pelancong yang mengikuti Pakej Jejak Ulama pula, mereka akan dibawa ke Makam Tok Pelam di Kampung Ladang, Kota Lama Duyong, Makam Tok Ku Paloh dan Makam Tok Ku Pulau Manis di Pulau Manis, Serada.

“Bagi Jejak Makan (Food Trail), pelancong akan dibawa merasai makan nasi dagang di Cendering, makan tengah hari di beberapa restoran, serta minum petang di Pantai Teluk Ketapang untuk merasai ICT (Ikan Celup Tepung) di samping melawat lokasi pelancongan yang lain di sekitar bandar raya Kuala Terengganu,” katanya.

Ketika ini, terdapat 87 buah hotel dengan 3,822 bilik di kawasan Kuala Terengganu.

Daripada jumlah itu, lima buah hotel bertaraf empat bintang, tiga bintang (lima buah), dua bintang (lapan buah), satu bintang (sebuah) manakala terdapat juga lapan buah hotel bertaraf tiga orkid, dua orkid (sebuah) manakala bakinya, 59buah lagi belum diberi penarafan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

Ini tidak termasuk dua buah perkampungan inap desa dengan 51 peserta yang telah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan di samping beratus-ratus rumah/villa untuk disewa pelancong.

Mohd Jidin berkata pihaknya juga akan terus memperkasakan kemahiran komunikasi dalam kalangan petugas pelancongan seperti penyambut tetamu, pemandu teksi, pelayan di resort dan hotel.

“Kita juga sedang berunding dengan pengusaha hotel, resort dan inap desa untuk menjadikan Kuala Terengganu sebagai destinasi ‘wajib’ ke Pantai Timur dalam risalah iklan, blog, laman web dan Facebook rasmi mereka,” katanya. — Bernama