Belajarlah daripada kesilapan lalu, kata Dr Soon

0

Oleh Florence Nervyn //

Rakyat DUN Dudong diminta beri sokongan penuh kepada calon BN pada PRN akan datang

SIBU: Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong diminta bersatu padu dan memberi sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck berkata rakyat di kawasan DUN Dudong harus belajar daripada kesilapan lalu.

“Pelbagai perubahan berlaku sejak saya menjadi ADUN Dudong 20 tahun lalu, kini hampir 90 peratus penduduk di DUN Dudong menikmati manfaat kemudahan asas seperti bekalan air bersih, jalan raya dan elektrik luar bandar.

“Bagaimanapun, rakyat di DUN Dudong kini ketinggalan daripada aspek pembangunan dalam tempoh tiga tahun lalu di bawah pembangkang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Soon turut menasihati rakyat di DUN Dudong agar tidak dipermainkan pembangkang dengan janji-janji kosong terutama menjelang pilihan raya.

“Belajar daripada kesilapan lalu dan sokong calon BN pada PRN akan datang,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Rumah Umpang Merta, Sungai Menyan semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SUPP Dudong Dato Sri Benny Lee, ketua-ketua masyarakat dan penduduk Rumah Umpang Merta.

Dalam kejadian 10 Mei 2011, Rumah Umpang Merta terletak kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar ranap dalam kebakaran.

Pembinaan baharu 19 pintu Rumah Umpang Merta menelan kos pembinaan berjumlah RM1.8 juta dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 bulan.

Mengulas mengenai pemilihan calon mewakili BN, Dr Soon memberitahu bahawa perkara itu akan diputuskan oleh barisan pemimpin tertinggi parti.

“Apa yang penting, kita menyokong calon mewakili BN (SUPP) memastikan kemenangan BN di kawasan DUN Dudong pada PRN akan datang,” katanya.

Pada PRN 2011 lalu menyaksikan Yap Hoi Liong (DAP) menang 9,649 undi menewaskan Datuk Tiong Thai King (BN) 9,332 dan Apandi Abdul Rani (Bebas) 174 undi.