De’rieza KSRKTT A ditabal juara

0

Oleh Mahathir Haroun //

Mengalahkan Hornbill United pada aksi final Futsal Terbuka 2014 Piala Utusan Borneo

GEMBIRA: Pemain De’rieza KSRKTT A merangkul kejuaraan Pertandingan Futsal Terbuka 2014 Piala Utusan Borneo edisi pertama.

KUCHING: Edisi pertama Pertandingan Futsal Terbuka 2014 Piala Utusan Borneo menyaksikan De’rieza KSRKTT A ditabalkan juara setelah mengalahkan KLMJ United dengan jaringan 3-0.

Beraksi di Stadium Futsal Coneli di sini semalam, pasukan dari Kampung Tupong Tengah Kuching itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200, trofi, pingat dan sijil.

Terdahulu itu, De’rieza KSRKTT A mengalahkan Hornbill United untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Lebih manis pemain De’rieza KSRKTT A, Mohd Faizal Zamri muncul penjaring terbanyak selepas menjaringkan 10 gol sepanjang kejohanan dua hari itu.

Ismail Ahmad yang mewakili De’rieza KSRKTT A turut dinobatkan sebagai pemain terbaik.

Pengurus De’rieza KSRKTT, Zulbayazid Bujang berkata pada tahun ini pasukan tersebut menyertai banyak kejohanan dan berjaya merangkul enam kejuaraan sepanjang musim ini.

“Kita memang selalu mengambil bahagian dalam pertandingan futsal. Kejayaan ini memang tidak diduga kerana banyak pasukan handalan sekitar Kuching turut terlibat,” katanya ditemui selepas perlawanan.

Zulbayazid menjelaskan, rata-rata pemain mewakili De’rieza KSRKTT berusia 20 hingga 31 tahun dan kebanyakannya berasal dari Kampung Tupong Tengah di sini.

“Kita pernah mewakili Kuching ke Kejohanan Futsal KPS Piala Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu, KLMJ United selaku naib juara pula membawa pulang wang tunai RM800, trofi, pingat dan sijil.

Hamzah Samat yang mewakili KLMJ United dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik, manakala KLMJ United turut diumumkan selaku pasukan ‘fair play’.

Tempat ketiga dikongsi bersama Kanoli FC B dan Hornbill United yang masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM500, pingat dan sijil.

Pengurus Besar Operasi Utusan Borneo dan The Borneo Post, Phyllis Wong hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Sebanyak 48 pasukan dari sekitar Kuching dan Kota Samarahan memeriahkan kejohanan yang julung kali dianjurkan oleh akhbar tempatan Utusan Borneo itu.

DIASAK: Pemain De’rieza KSRKTT A cuba menghalang
kemaraan pemain KLMJ United pada perlawanan
akhir semalam.