Final Piala AFF di Bukit Jalil

0

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan Stadium Nasional Bukit Jalil dijadikan venue bagi perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 antara pasukan Harimau Malaya dan Thailand pada 20 Disember ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan venue paling sesuai memandangkan perlawanan itu penting dan mampu menampung jumlah penonton yang besar.

“Kita menjangkakan semua tiket habis dijual nanti. Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan venue terbaik kerana mampu menampung lebih ramai penonton iaitu seramai 90,000 penonton berbanding 70,000 penonton di Stadium Shah Alam,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan padang di stadium itu bersama- sama Setiausaha Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Datuk Azzuddin Ahmad.

Hamidin berkata beliau dan Azzudin berpuas hati dengan keadaan rumput di padang stadium itu, yang dilihatnya lebih baik berbanding stadium di negara lain yang turut menjadi venue perlawanan Piala AFF Suzuki.

Sementara itu, Azzudin berkata beliau berpuas hati dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil disifatkannya sesuai untuk perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014.

“Walaupun ada beberapa kerja-kerja akhir, saya yakin dalam masa kurang seminggu, Stadium Nasional Bukit Jalil bersedia menjadi gelanggang penentuan juara Piala AFF Suzuki 2014,” kata Azzudin.

Bekas setiausaha Agung FAM itu berkata daripada pemerhatianya, padang Stadium Nasional Bukit Jalil adalah 40 peratus lebih baik jika dibandingkan dengan gelanggang perlawanan sebelum ini termasuk My Dinh National Stadium di Hanoi, Vietnam yang menjadi venue perlawanan separuh akhir kedua antara pasukan Harimau Malaya dan Vietnam Khamis lepas.

Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata beliau rasa gembira apabila akhirnya Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi venue utama Piala AFF Suzuki 2014 setelah pihaknya bertungkus-lumus berusaha membaik pulih rumput sejak sebulan lepas. — Bernama