Kursus pengadil bola sepak, futsal peringkat negeri serentak

0

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Unit Pengadil dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) mengadakan dua kursus pengadil bola sepak dan futsal peringkat negeri secara serentak.

Pegawai Pembangunan Pengadil Negeri Sarawak, Marsid Dahlan berkata kedua-dua kursus tersebut bakal diadakan di Dewan Suarah Bintulu pada 10 hingga 16 Januari depan.

Menurutnya, kedua-dua kursus pengadil bola sepak dan futsal peringkat negeri itu merupakan permulaan bagi pengadil-pengadil tempatan terutamanya di Bahagian Bintulu meningkatkan mutu pengadilan mereka tahun baharu nanti.

“Saya yakin kedua-dua kursus itu memberi impak dan pengalaman baharu buat pengadil-pengadil tempatan meningkat mutu pengadilan sukan bola sepak dan futsal di peringkat negeri,” katanya di sini semalam.

Menurut Marsid, tahun baharu 2015 bakal menyaksikan pelbagai kejohanan bola sepak dan futsal diadakan di seluruh negeri ini bagi persiapan pasukan negeri menghadapi kejohanan-kejohanan lebih besar.

“Saya percaya dengan penyertaan ramai peserta untuk kedua-dua kursus itu nanti mampu melahirkan seberapa ramai pengadil berpengalaman dan berwibawa di negeri ini,” jelasnya.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi Pengerusi Pengadil Bahagian Bintulu, Awang Jumari di talian 019-8856760 atau Marsid (013-8215047).

Tarikh tutup penyertaan bagi kedua-dua kursus itu ialah pada 5 Januari depan.