Silat promosi gaya hidup sihat, tingkat disiplin

0

Oleh Siti Aisyah Ramli //

Ia boleh dijadikan sebagai usaha mengurangkan jenayah sosial yang sering dikaitkan dengan belia: Abg Johari

BINA DEWAN: Abang Johari menyerahkan replika cek bernilai RM200,000 kepada barisan perwakilan guru silat, malam kelmarin.

KUCHING: Silat, yang sinonim dengan masyarakat Melayu bukanlah sesuatu yang asing dalam seni mempertahankan diri.

Malah, meskipun peredaran masa telah mencambah pelbagai cabang seni bela diri itu, ia masih relevan dan diguna pakai oleh pengikutnya sehingga hari ini.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kekayaan gerakan seni silat yang masih digemari masyarakat setempat khususnya, boleh dijadikan sebagai usaha mengurangkan kadar jenayah sosial yang sering dikaitkan dengan golongan belia.

Jelasnya, ia bukan sahaja mampu melahirkan generasi belia yang berdisiplin bagi yang mendalaminya, malah juga berperanan mempromosi gaya hidup sihat di kalangan rakyat di negeri ini khasnya.

“Dengan penglibatan dalam seni silat, saya yakin golongan belia yang menyertainya mampu menjadi masyarakat tinggi disiplin diri, daya tahan, yakin diri serta sikap menghormati orang lain terutama guru silat sendiri dan ibu bapa mereka.

“Ia juga sekali gus dapat mengurangkan penglibatan remaja dalam aktiviti yang tidak sihat iaitu gejala sosial yang boleh merosakkan jati diri individu,” katanya.

Tambah Abang Johari, gerak langkah seni menangkis atau mengelak bagi mempertahankan diri itu harus dipelihara serta dikekalkan sebagai kegiatan budaya warisan bangsa Melayu yang ada di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Majlis Malam Pesta Silat Rumpun Silat Sarawak Wilayah Kuching 2014 anjuran Rumpun Silat Sarawak (RSS) di Dewan Kampung Tunku di sini, malam kelmarin.

Sementara itu, Presiden RSS Muhd Haneef Ali berkata, perguruannya yang aktif sejak 20 tahun lalu itu mengorak langkah demi langkah bagi mengekalkan tradisi nenek moyang dalam seni silat.

“Apa yang paling utama ialah, kerajaan tidak pernah mengabaikan seni ini, malah menyokong promosi seni silat ini agar ia terus dipelihara dan dikekalkan.

“RSS bersama persatuan silat yang lain akan membantu usaha kerajaan untuk memajukan masyarakat Melayu, khususnya serta mengawal kadar masalah sosial,” jelasnya.

Majlis Malam Pesta Silat Rumpun Silat Sarawak Wilayah Kuching 2014 itu menyaksikan 10 perguruan silat terlibat mempersembahkan gerak hayunan langkah silat masing-masing seperti Perguruan Silat Hidayah Melayu, Silat Hailam Laut, Silat Kibau, Silat Siantong Melayu Asli, Silat Hati 12, Silat Asli Gerak Alam, Silat Warisan Penangkis Alam, Silat Cakar Harimau, Silat Anak Jati Sarawak dan Silat Helang Putih Perkasa.

Abang Johari berkesempatan menyerahkan cek peruntukan bernilai RM200,000 kepada perwakilan guru silat sebagai dana untuk membina dewan dan gelanggang latihan perguruan silat bagi memperhalusi pembelajaran silat serta tempat berhimpun bagi bertukar fikiran dan idea.