Tabung Belia Dayak PEBEDAS dilancar

0

SIBU: Tabung Belia Dayak Pertubuhan Belia Dayak Sarawak (PEBEDAS) telah dilancarkan pada Majlis Makan Malam Amal PEBEDAS di sini, malam kelmarin.

Ia dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol.

Menurut Presiden PEBEDAS Daniel Batin, tabung itu untuk membantu belia-belia Dayak dalam pendidikan dan hal-hal berkaitan.

“Tujuan kami menubuhkan tabung ini adalah untuk membantu belia Dayak dalam pelbagai bidang serta hal-hal berkaitan.

“Tabung ini bukan hanya untuk PEBEDAS malah untuk belia-belia Dayak di negeri ini,” katanya pada majlis itu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent, empat Setiausaha Politik Ketua Menteri Romeo Christopher Tegong, Andrew Shilling Banggit, Wilson Nyabong Ijang dan Jefferson Jamit Unyat, Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong, Penasihat PEBEDAS Sibu Alexander Kadir Dato dan Pengerusi PEBEDAS Sibu Mathrew Moilan.

Sementara itu, Abdullah berkata beliau berjanji akan membantu menggerakkan tabung belia itu.

“Saya akan bantu mendapatkan bantuan-bantuan kewangan daripada wakil-wakil rakyat kaum Dayak,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Semop memuji inisatif PEBEDAS mewujudkan tabung itu kerana dapat memberi manfaat kepada belia-belia Dayak.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan PEBEDAS agar dapat menyertai SABERKAS Negeri dalam usaha sama menjalankan aktiviti berkaitan.

“Saya menjemput PEBEDAS bersama-sama dalam SABERKAS sebagai pendedahan kepada semua.

“Ini kerana banyak program yang menguntungkan jika kita menjayakannya bersama,” jelasnya.

Abdullah turut menggesa agar PEBEDAS terus memainkan peranan penting kepada belia-belia Dayak di negeri ini dan membuka keahliannya dengan lebih luas.

Beliau menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Tabung Belia Dayak PEBEDAS.