SIBU: Gara-gara mengharapkan permohonan MyKad baharunya digantikan secara percuma, seorang lelaki cuba ‘membuat skrip palsu’ dalam laporan polisnya di sini semalam.
Mulanya, lelaki dalam lingkungan usia 30-an itu memberitahu polis bahawa dia membuat laporan polis kerana MyKadnya didapati hilang selepas diragut.
Apabila ditanya bila diragut, lelaki itu berkata insiden itu berlaku pada 10 Disember lalu iaitu pada malam Rabu.
Pengadu turut mendakwa dirinya dibawa lari dengan menaiki motosikal menuju ke Jalan Kemunyan di sini.
Pengadu berkata dia ditumbuk oleh dua lelaki yang tidak dikenalinya sebelum dibiarkan dalam keadaan separuh sedar.
Pengadu juga memberitahu, dia dihantar ke Hospital Sibu dengan menaiki kereta polis.
Ketika ditanya bagaimana dia dapat pergi ke hospital, pengadu menjawab ada orang bermain golf di situ menghubungi polis kerana memikirkan dia adalah ‘orang gila’ merayau-rayau di kawasan itu.
Setelah ditanya sama ada dia ada mengalami kecederaan atau tidak, pengadu memberitahu bahawa dia tidak cedera tetapi hanya mabuk sedikit.
Yang peliknya, dia memberitahu mengalami nasib malang dua kali dan tidak dapat ingat dengan jelas bila MyKadnya hilang.
Malah pengadu tidak pasti di mana dia diragut.
Pengadu juga memberitahu bahawa sampel darahnya baharu sahaja diambil oleh pihak hospital untuk tujuan yang hanya diketahui oleh pengadu sendiri pagi semalam.
Bingung selepas pengadu memutar belit laporan kehilangan MyKad, pengadu dinasihati berterus terang dan membuat laporan polis secara ringkas.
Difahamkan pengadu dipercayai cuba membuat laporan palsu agar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini tidak mengenakan sebarang bayaran permohonan baharu MyKadnya.
JPN tidak memberi jaminan pengecualian bayaran walaupun laporan polis dilampirkan bersama bagi permohonan baharu MyKad yang sudah hilang.
“Laporan polis mengenai kehilangan MyKad hanyalah sebagai rujukan JPN sahaja.
“Jika kehilangan MyKad berpunca daripada kecuaian mereka sendiri, mereka pasti dikenakan bayaran RM110 untuk kehilangan pertama,” kata seorang pegawai JPN di sini.
Beliau menambah, jumlah bayaran meningkat RM210 untuk kehilangan kali kedua dan bayaran itu semakin meningkat untuk permohonan seterusnya.