Maut terhantuk tiang

0

Oleh Sandy Mark Luna //

Remaja terbunuh akibat terhantuk pada tiang lampu selepas motosikalnya langgar pembahagi jalan

HILANG KAWALAN: Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Batu Kawa.

SIMON DOM

KUCHING: Seorang remaja dari Sebuyau terbunuh dalam satu kemalangan di Jalan Batu Kawa di sini, malam kelmarin (Ahad).

Mangsa yang bermotosikal dikatakan dalam perjalanan dari Bandar Baharu Batu Kawa ke Batu Tiga dalam insiden sekitar jam 11 malam itu.

Bagaimanapun, ketika tiba di hadapan sebuah sekolah dia yang dikenal pasti sebagai Simon Dom, 19, dikatakan hilang kawalan ke atas motosikalnya lalu melanggar pembahagi jalan.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala apabila terhantuk pada tiang lampu selepas terhumban dari motosikalnya.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia sekitar tengah malam.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 30 tahun yang terbabit dalam kemalangan di Santubong dekat sini, turut dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi semalam.

Mangsa yang dipercayai terbabas selepas melalui jambatan Santubong hanya disedari apabila sebuah Perodua Kancil merempuh motosikal yang terpelanting ke laluan bertentangan.

Mangsa yang kelihatan tidak mengalami kecederaan serius dibawa ke HUS untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, mangsa menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9 pagi semalam, dipercayai akibat pendarahan dalaman.