Pelumba Brunei takluk Miri

0

Oleh Clare Cinderella //

Menjuarai dua kategori yang dipertandingkan pada Kejohanan Motorcross Miri 2014

TAHNIAH: Para pemenang bergambar bersama penganjur. Turut kelihatan Kong (barisan tengah, enam kiri) dan Wong (barisan tengah lapan kiri) di Miri kelmarin.

MIRI: Pelumba veteran dari Brunei, Jamil Karim mengungguli sukan lumba motosikal lasak atau motorcross apabila menjuarai dua daripada empat kategori dipertandingkan pada Kejohanan Motorcross Miri 2014 yang berakhir petang kelmarin.

Jamil menjuarai kategori veteran dengan naib juara jatuh kepada Zakarian Abdul Samad dan Jawadi Wahid di tempat ketiga.

Jamil sekali juara dalam kategori MX Open, meskipun diberi tentangan sengit oleh Mohd Shahnizzam yang terpaksa akur di tempat kedua manakala Maxrmo Reynaldo dari Filipina di tempat ketiga.

Dalam kategori Scramble pula, juara dimenangi Rosairi Mat Long manakala naib juara ialah Thien Fock Kin dan tempat ketiga Herman Malari.

Kategori Novice pula dimenangi Mohd Shahnizzam manakala naib juara Asnan Kunus dan tempat ketiga dimenangi Kee Shin Wee.

Kejohanan Motorcross Miri 2014 dianjurkan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri dengan kerjasama Persatuan Motorcross Sarawak Cawangan Miri dan dirasmikan oleh Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin.

Lee ketika ditemui berkata, kejayaan penganjuran sukan lasak itu sebelum ini  menggalakkan Pemuda SUPP untuk kembali menganjurkan kejohanan tersebut buat kali keempat tahun ini.

“Lebih membanggakan kejohanan kali ini berjaya menarik sebanyak 60 penyertaan meningkat daripada jumlah sebelum ini yang bukan sahaja dari Miri tetapi dari peserta luar.

“Antara yang mengambil bahagian ialah pelumba negara Brunei Darussalam, Filipina, Sabah dan Semenanjung Malaysia selain Sarawak dengan majoriti adalah pelumba Miri,” jelas Lee.

Walaupun kejohanan tersebut bukan kejohanan antarabangsa namun penyertaan dari luar negara meletakkan kejohanan itu bertaraf antarabangsa.

Lee memainkan peranan penting menyokong penganjuran sukan itu berkata, beliau berharap hasrat menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa dan peringkat Asean di Miri pada tahun depan akan menjadi kenyataan.

“Permohonan untuk menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa dan Asean di Miri oleh Persatuan Motorcross Sarawak (SMA) dan SMA Cawangan Miri kini dalam pertimbangan dan menunggu untuk kelulusan.

“Jika diluluskan kelak, maka ia akan membuka lembaran baharu dalam sejarah motorcross di negeri ini dan di Miri,” katanya.

Lee yang juga ADUN Senadin merangkap Menteri Muda Perhubungan berkata, kemudahan trek atau litar untuk perlumbaan motorcross di Miri di Tudan adalah yang terbaik di Malaysia setakat ini.

“Ini diakui bukan sahaja oleh para pelumba malah persatuan-persatuan motorcross dari seluruh Malaysia dan rantau Asean.

“Saya yakin kita dapat menganjurkan kejohanan bertaraf tinggi dan dalam skala lebih besar,” jelas beliau.

Pada majlis itu, Lee menyampaikan cek berjumlah RM20,000 kepada persatuan terbabit untuk membiayai aktiviti mereka.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Motorcross Sarawak Cawangan Miri, Kong Shan Nyan dan pengerusi penganjur, Wong Lung Hing.