Sarawak sedia hadapi Hoki Wanita Piala Borneo

0

BERSEDIA: Pemain Sarawak bersedia memberi cabaran pada Piala Borneo di Sabah.

KUCHING: Sarawak bersedia sepenuhnya menghadapi Kejohanan Hoki Wanita Piala Borneo di Stadium Likas, Kota Kinabalu dari 16 hingga 20 Disember ini.

Jurulatihnya, C Sivasubramaniam berkata pasukan Sarawak diwakili pemain kebangsaan, pemain SUKMA dan beberapa pemain muda menyertai kejohanan turut disertai Sabah, Sarawak, Labuan dan Brunei.

Pemain kebangsaan termasuk Fazilla Sylvester Silin, bekas pemain kebangsaan Catherine Lambor dan Bulan Sauh, bekas pemain SUKMA Pamela Tia, Jeneter Kadir, Samantha Echa Sigah, Ivana Sonia Beriak dan Florance Paul.

Lain-lain pemain termasuk pasukan bayangan SUKMA 2016 seperti Wisnika Jurin, Jossie Kay Frankie, Wilina Mac Carina William, Vagressa Apang, Leonney Suzye Roland, Rose Ida Direk, Averi Nathaniellyn Joseph, Josephine Angkun, Suhaila Sata dan Olivia William.

Nellyana Aling bertindak sebagai penolong jurulatih.

Sivasubramaniam berharap pasukan wanita negeri dapat berada pada kedudukan tiga terbaik sekiranya tidak merangkul kejuaraan.

Piala Borneo kembali diadakan selepas dihentikan selama 12 tahun.

Sarawak muncul juara apabila kejohanan kali terakhir diadakan di Brunei pada 2002.

Biarpun Sarawak mengalahkan Sabah 3-0 pada SUKMA di Perlis tahun ini, Sivasubramaniam tetap berwaspada dengan kemampuan pasukan tuan rumah itu kerana mereka berlatih di bawah program hoki Sekolah Sukan Sabah.

“Empat pemain Sabah bermain di Liga Hoki Kuala Lumpur ia memberi pendedahan lebih baik berbanding tiada pendedahan untuk Sarawak,” katanya.

Biasanya pemain negeri hanya mengikuti perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan.

Beliau berkata, Piala Borneo akan menjadi pendedahan terbaik kepada pasukan bayangan negeri untuk SUKMA 2016 yang mana Sarawak selaku tuan rumah.

“Enam pemain bayangan negeri tidak dapat bersama pasukan kerana masih bercuti,” katanya.