Alahai! ‘Inspektor Raymond’

0

Oleh Michael Ubam//

TAK SERIK-SERIK: Suspek dikerumuni polis selepas aksi kejar-mengejar dari Lebuh Tinggi hingga ke Jalan Kampung Datu, Sibu petang semalam.

SIBU: Taktik seorang lelaki menggunakan salinan kad pengenalan bukan miliknya ketika ditahan polis menunggang motosikal tanpa lesen tidak menjadi apabila dia berjaya dicekup selepas cuba melarikan diri, semalam.

Terdahulu, dalam kejadian pada jam 1.50 petang di Lebuh Tinggi di sini, dua anggota polis dan tiga sukarelawan polis menahan seorang lelaki, 24, ketika melakukan rutin rondaan.

Ketika diperiksa, lelaki tersebut gagal mengemukakan lesen menunggang motosikal.

Namun, suspek cuba menyamar sebagai orang lain selepas memperkenalkan dirinya sebagai ‘Johnny’ sambil memberi salinan kad pengenalan atas nama ‘Johnny’.

Pasukan polis kemudian bertindak mengarahkan suspek pergi ke balai untuk tujuan mengeluarkan saman.

Namun, suspek bertindak memecut motosikalnya untuk melarikan diri menyebabkan pasukan polis terpaksa mengejarnya.

Semasa dikejar, suspek dikatakan melanggar tiga buah motosikal orang awam, namun pasukan polis tidak berputus asa mengejarnya hingga ke Jalan Kampung Datu.

Suspek juga bertindak agak agresif sehingga satu pergelutan berlaku ketika dia ditahan polis.

Akibatnya, suspek mengalami kecederaan di bahagian lengan kanan kerana terjatuh dari motosikalnya.

Suspek kemudiannya diheret ke Balai Polis Sentral untuk tindakan lanjut.

Suspek berasal dari Sungai Pasai di sini dijangka ditahan di bawah Seksyen 186 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 25(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Sebelum ini, suspek pernah ditahan kerana menyamar sebagai seorang pegawai polis dengan menggelarkan dirinya sebagai ‘Inspektor Raymond.’

Dia sudah dituduh di mahkamah, sementara menunggu perbicaraan kes tersebut.