Atlet taekwondo Sarawak mantapkan acara poomsae

0

BERSEMANGAT: Para peserta bersama Naib Presiden WTF, Raja Zahari Raja Yusof, jurulatih Pui Jak Joon (sebelas kiri) dan Duong Thi Huynh Mai, juara taekwondo Poomsae Dunia dari Vietnam di Bintulu baru-baru ini.

KUCHING: Persatuan Taekwondo WTF Negeri Sarawak (PTNS) mengadakan pusat latihan intensif taekwondo bagi acara poomsae pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016, di Bintulu.

Presidennya, Mohd Salleh Sani berkata SUKMA 2016 bakal diadakan di Sarawak menyaksikan sukan taekwondo buat pertama kalinya mempertandingkan acara poomsae peringkat kebangsaan.

Kira-kira lima pingat emas disediakan untuk kategori poomsae iaitu lelaki dan wanita individu, pasukan lelaki dan wanita, serta kategori ‘mix-pair’.

“Latihan ini bukan sahaja aspek penting melatih pasukan poomsae negeri, malah diharapkan ahli-ahli taekwondo Bahagian Bintulu mengambil kesempatan menimba pengalaman, pengetahuan dan kemahiran poomsae terkini dan maklumat daripada jurulatih dari Vietnam,” katanya di sini semalam.

Mohd Salleh berkata, atlet- atlet didedahkan dengan ketekunan dan kesungguhan memenangi pelbagai kejohanan kebangsaan.

Katanya, jika mereka memiliki mentaliti yang kuat dan berada dalam kerangka pemikiran yang betul pasti mendapat peluang mencapai keputusan lebih baik pada SUKMA 2016 nanti.