AUG: Mohd Arif raih emas 400 meter di Palembang

0

BANGGA: Mohd Arif menunjukkan emas dimenanginya dalam acara 400m pada Sukan Universiti Asean 2014 di Palembang, Indonesia.

KUCHING: Jaguh 400 meter dari Sarawak, Mohd Arif Zulhelmi Alet mengekalkan emas dimenanginya dalam acara berkenaan pada Sukan Universiti Asean (AUG) ke- 17 di Palembang, Indonesia dari 10 hingga 21 Disember ini.

D alam saingan olahraga yang membuka tirai kelmarin, Mohd Arif mencatat masa 47.74 saat untuk menggondol emas sekali gus menewaskan atlet dari Vietnam, Quach Cong Lich (47.96s) di tempat kedua dan Edi Ariansyah dari Indonesia (48.78s) di tempat ketiga.

Bagaimanapun, masa yang beliau catat gagal menyamai pencapaian ketika memenangi emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Perlis, Mei lalu dengan 47.42s.

“Syukur selepas berjaya memper tahankan emas dalam acara ini yang dimenangi di Laos pada 2012,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, kejayaan itu tidak menjadi kenyataan tanpa tunjuk ajar jurulatih Mohd Ali Seruji selain bantuan pegawai Institut Sukan Negeri (ISN) Satelit Kuching dan Miri membantunya mempertahankan gelaran ini.

Menurut Mohd Arif, beliau tetap berpuas hati dengan masa yang dicatat pada perlumbaan tersebut meskipun gagal menyamai pencapaian pada SUKMA Perlis lalu.

“Saya akan turun lagi dalam acara 4 x 400 meter pada 18 Disember dan ini peluang terbaik untuk menambah satu lagi koleksi pingat,” katanya.