Dua ‘kaki paw’ dicekup polis

1

TUMPAS: Seorang daripada suspek dibawa masuk ke dalam Balai Polis Sentral untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Dua ‘kaki paw’ dicekup polis selepas dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya empat kes rompakan bersenjata di sekitar pusat bandar raya ini sejak beberapa minggu lepas.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sentral di sebuah perhentian bas Jalan Gambier sekitar jam 9.30 malam kelmarin.

Difahamkan, semasa ditahan, polis turut merampas pisau lipat dipercayai senjata yang digunakan kedua-dua suspek berasal dari Santubong dan Petra Jaya itu untuk merompak.

“Usaha menjejaki suspek memakan masa beberapa minggu setelah mereka dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga kes di sekitar kawasan Padang Pasir, Saujana dan muzium dengan menyasarkan golongan remaja serta warga asing.

“Kes terakhir yang melibatkan suspek ialah pada jam 3 petang semalam (Isnin) di mana mereka (suspek) dengan bersenjatakan pisau telah merompak seorang mangsa serta melarikan telefon bimbitnya,” kata sumber.

Selain itu, suspek dikatakan juga pernah menyamar sebagai penjawat awam sebelum melakukan rompakan.

“Modus operandi (MO) suspek ialah mereka akan menahan mana-mana remaja dan kemudian mengeluarkan pisau sebelum merampas barang berharga.

“Terdapat juga kes di mana suspek menyamar sebagai penjawat awam sebelum melakukan rompakan,” kata sumber.

Kedua-dua suspek sehingga berita ini ditulis semalam dilaporkan masih ditahan di lokap Balai Polis Sentral dan akan direman selama beberapa hari untuk siasatan lanjut.