Gurauan bertukar insiden berdarah

0

CEDERA: Mangsa semasa tiba di HUS untuk mendapatkan rawatan awal pagi semalam.

KUCHING: Seorang pekerja restoran makanan segera terpaksa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan di kepala selepas dipercayai dibelasah rakan-rakannya sendiri, semalam.

Menurut sumber, lelaki berusia 18 tahun berasal dari Sadong Jaya itu dilaporkan baharu tiba di kuarters tempat kerjanya apabila mendapati pagar hadapan biliknya telah dikunci sekitar jam 2 pagi.

Mengesyaki perkara tersebut adalah gurauan oleh rakan-rakannya, dia segera mencari mereka namun pertengkaran pula yang tercetus.

“Difahamkan, tiga daripada suspek telah bertindak menghalang mangsa daripada melarikan diri, manakala dua lagi membelasahnya sehingga menyebabkan kecederaan di kepala.

“Mangsa selepas itu berjaya menyelamatkan diri dan terus meminta bantuan daripada rakan-rakannya yang lain untuk menghantarnya ke HUS,” kata sumber.

Mangsa sehingga berita ini ditulis semalam dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit selepas rumahnya dipecah masuk dan pelbagai barang berharga dilarikan pencuri kelmarin.

Insiden hanya disedari oleh mangsa, 36, sebaik sahaja tiba di rumahnya di Kampung Sungai Midin, Petra Jaya apabila mendapati keadaan di dalam rumahnya berselerak sekitar jam 9.30 malam.

Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati beberapa berharga seperti koleksi barang kemas dan tiga unit telefon bimbit miliknya telah hilang.

Risau akan terjadi perkara tidak diingini pada masa hadapan, dia kemudian segera melaporkan insiden tersebut di balai polis berhampiran dan siasatan lanjut masih dijalankan.