Peningkatan kerja perkhidmatan awam memuaskan, kata Morshidi

0

Oleh Watt Zacchaeus

 

TINJAU: Morshidi (dua kiri) diiringi Ting (kiri) melawat Projek Tebatan Banjir di Sungai Engkabang, Jalan Lanang di Sibu, petang kelmarin.

SIBU: Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berpuas hati dengan peningkatan kerja-kerja perkhidmatan awam di Sibu.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Projek Tebatan Banjir di Sungai Engkabang, Jalan Lanang di sini petang kelmarin, beliau melahirkan rasa gembira melihat projek itu dilaksanakan dengan baik.

“Ini menunjukkan perkhidmatan awam telah melakukan kerja yang baik.

“Saya berharap projek sama seperti ini dapat dilaksanakan dan projek-projek lain disiapkan mengikut jadual disalurkan kepada rakyat dalam bajetnya,” katanya.

Sungai Engkabang merupakan antara lapan projek tebatan banjir di Sibu dengan kos RM210 juta dalam dua fasa.

Ia dibina di bawah program Fasa 1 dan siap pada September 2012.

Projek ini memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 penduduk dan bertujuan mengurangkan masalah banjir di bandar Sibu dan sekitarnya.

Morshidi berkata beliau akan turun padang melihat sendiri kualiti kerja dan kemajuan projek tebatan banjir di sini.

“Saya berharap dengan usaha berterusan sektor awam, kita dapat menyiapkan projek ini dalam berkhidmat kepada rakyat untuk kepentingan mereka,” ujarnya.

Mengenai laporan Ketua Audit Negara 2013 mengenai Siri 3 tentang kerja-kerja pengorekan Pulau Kerto gagal untuk mengurangkan banjir di Sibu, beliau berkata ia bukan satu isu penghantaran tetapi lebih kepada proses semula jadi.

“Ia adalah satu proses dinamik dan kita tidak boleh melawan alam semula jadi.

“Oleh kerana ia tidak berkesan, kita tidak melakukan pengorekan melainkan jika ada tersumbat atau kesesakan di kawasan itu perlu dikorek,” katanya.

Kerja-kerja pengorekan itu menelan kos RM10.25 juta melibatkan kira-kira 30 ekar tanah ditebus guna untuk tujuan itu.

Turut mengiringi Morshidi dalam lawatan itu ialah Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu Ting Sing Kwong.