SUPP Simanggang buka dua kaunter permohonan BR1M

0

SRI AMAN: Penduduk berusia 21 tahun ke atas dialu-alukan memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 yang mula dibuka permohonannya sejak 1 Disember lalu.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden Hollis berkata, mereka yang layak memohon bantuan berkenaan boleh mendapatkan borang permohonan di kaunter Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terdekat.

Menurutnya, permohonan boleh diisi secara manual dengan mendapatkan borang permohonan di pejabat LHDN atau permohonan melalui talian di laman rasmi LHDN.

Beliau yang juga Menteri Muda Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ditemui ketika berkunjung ke Kaunter Terbuka BR1M 2015 anjuran Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Simanggang di sini semalam.

Dalam pada itu, Pejabat SUPP Simanggang mengadakan dua kaunter terbuka untuk orang awam mengisi borang BR1M iaitu di Pasar Baru Sri Aman dan Pasar Lama Sri Aman.

“Kami akan berada di dua tempat tersebut bermula jam 8 pagi hingga 5 petang selama dua hari dan orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan mengisi borang serta pertanyaan lain boleh berkunjung ke kaunter kami.

“Anda juga boleh membawa salinan buku akaun, salinan kad pengenalan disertakan borang permohonan,” katanya.

Mereka yang layak memohon bantuan ini adalah mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 layak mendapat bantuan RM950.

Manakala mereka berpendapatan isi rumah bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 layak mendapat bantuan RM750 dan individu bujang 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan layak menerima RM350.

Menurut Harden, tarikh akhir memohon bantuan ini ditetapkan pada 31 Disember ini dan pembayaran BR1M 2015 akan bermula pada penghujung Januari tahun depan.

Turut hadir Temenggung Sii Toh Peng, Penghulu Lee Siang Hua, Kapitan Tay Siaw Chuan, Kapitan Kiew Siew Teck, Kaunselor Andar Suntai serta para pemimpin SUPP Simanggang lain.