AUG: Jonathan rangkul emas 200m dalam penampilan sulung

0

PALEMBANG: Penampilan pertama pelari pecut negara Jonathan Nyepa membawa tuah apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara 200m pada Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17 di sini semalam.

Atlet muda berusia 18 tahun itu melakukan larian sepantas 21.57 saat, meninggalkan rakan sepasukannya Harith Amar Mohd Sobri dengan perbezaan 0.19 saat yang meraih pingat perak.

Pingat gangsa menjadi milik Rozikin Muhammad dari Indonesia dengan 21.86s pada pertandingan di Stadium Olahraga Jakabaring.

Jonathan berasal dari Bintulu, Sarawak, itu berkata beliau tidak menyangka dapat meraih pingat serta dapat melakukan catatan masa peribadi terbaiknya di kejohanan dwitahunan itu.

Katanya beliau juga pernah berlatih dengan bekas raja pecut negara, Watson Nyambek dua bulan sebelum beliau terpilih menyertai skuad kebangsaan tahun ini.

“Selepas ini sasaran saya ialah beraksi di Sukan SEA Singapura tahun depan. Saya yakin catatan masa yang saya lakukan ini boleh diperbaiki lagi cuma saya perlu berusaha keras untuk meningkatkan prestasi,” katanya.

Sebelum ini, Jonathan turut meraih pingat perak bagi acara 100m.

Pelari pecut wanita negara pula, Zaidatul Husnia Zulkifli sekali lagi meraih pingat perak dalam acara 200m, sebelum ini atlet Terengganu itu meraih pingat perak dalam acara 100m.

Zaidatul Husnia membuat catatan 24.20s di belakang Vu Thi Huong dari Vietnam yang meraih pingat emas dengan 23.84s, manakala pingat gangsa turut menjadi milik pelari Vietnam, Nguyen Thi Thuy dengan catatan 24.41s. — Bernama