Bertatu, terlentang

0

Oleh Michael Ubam //

Mayat lelaki tanpa identiti dipercayai kaki hisap gam ditemui

LOKASI KEJADIAN: Polis menyiasat kes mayat lelaki yang dijumpai dalam keadaan terlentang di Jalan Lanang 2 awal pagi semalam.

SIBU: Mayat seorang lelaki dipercayai kaki hisap gam ditemui dalam keadaan terlentang di lorong belakang sebuah bangunan di Jalan Lanang 2 di sini, awal pagi semalam.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis yang pergi ke lokasi kejadian pada jam 1.55 pagi mendapati mangsa, dipercayai berumur 30-an, memakai baju-T hitam berbelang, berseluar jeans hitam serta tidak berkasut.

Tiada pengenalan diri atau kad pengenalan dijumpai pada badan mangsa.

Pasukan paramedik yang turut berada di lokasi kejadian kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Pemeriksaan awal ke atas mangsa mendapati darah keluar daripada kedua-dua telinganya dan kesan calar kelihatan di sebelah kiri belakang badannya.

Polis juga menemui kesan gam kering di tapak tangan dan baju mangsa.

Siasatan lanjut polis di tempat kejadian menemui satu tin gam dalam keadaan terbuka penutupnya lebih kurang 10 meter daripada mangsa terlentang.

Seorang saksi enggan dikenali memberitahu polis, dia terdengar bunyi hentaman dari lokasi kejadian tetapi tidak menjangka sesuatu perkara pelik terjadi di situ.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi semalam memberitahu, polis yang memeriksa kawasan berdekatan tidak menemui sebarang petunjuk berkaitan kematian mangsa.

Bagaimanapun, kata Mohd Kamal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah dilanggar lari.

Mohd Kamal berkata, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperolehi.

Ditanya sama ada kes itu ada kaitan dengan unsur jenayah, Mohd Kamal enggan mengulas lanjut.

“Kita masih siasat lagi, tunggu sehingga laporan bedah siasat,” tambahnya.

Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga yang hilang diminta menghubungi Ketua Polis Balai ASP Herman Rakey menerusi talian 019-7174170 atau Pegawai Penyiasat Sarjan Ibrahim (016-5252539).

Mangsa berketinggian kira-kira 1.54 meter, berambut pendek, berkulit sawo matang mempunyai tatu berbentuk harimau di lengan kanan dan tatu lipan di betis kanan.

ADA TATU: Mangsa mempunyai tatu harimau di lengan kanan dan tatu lipan di betis kanan.