Bidayuh bangga kejayaan Dewi Liana: Manyin

0

KUCHING: Masyarakat Bidayuh berkongsi kebanggaan dengan kejayaan yang ditempa Dewi Liana Seriestha yang dinobat sebagai rakyat Malaysia pertama yang memenangi gelaran ‘Miss Talent’ pada Miss World 2014 di London.

Ketua Penasihat Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA) Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, pencapaian yang dicapai Dewi Liana harus dijadikan sebagai pendorong serta perangsang kepada masyarakat Bidayuh terutama dalam mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Beliau juga berharap, pada masa akan datang, golongan lelaki Bidayuh juga mengambil langkah kejayaan yang sama seperti apa yang telah diperolehi Dewi Liana dan seorang lagi wanita Bidayuh, Pandelela Rinong, yang memenangi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik London pada 2012.

“Hari ini, kita menyambut Miss Malaysia World, Dewi Liana, yang telah pun dinobatkan sebagai Miss ‘World-Talent’. Ini juga merupakan pencapaian pertama untuk Malaysia.

“Justeru, kita telah mempunyai dua wanita Bidayuh yang berjaya sehingga ke peringkat dunia dan kita sangat berbangga dengan mereka. Setakat ini, belum ada lagi lelaki Bidayuh yang mencapai kejayaan yang sama, tetapi saya berharap ia akan berubah kelak,” katanya ketika menghadiri Majlis Makan Malam Pra-Krismas, di Cafe Awah, Ibu Pejabat DBNA, malam kelmarin.

Manyin juga menasihatkan masyarakat Bidayuh agar meneruskan usaha untuk melangkah jauh lagi bagi meningkatkan kesediaan menghadapi dunia yang mencabar dengan menjadi masyarakat berkualiti serta meningkatkan sumbangan budaya yang lebih baik sebagai contoh menyimpan wang untuk masa depan.

Beliau menegaskan, perpaduan kaum tidak boleh menjamin kejayaan masyarakat Bidayuh, seandainya mereka tidak mengambil peluang untuk bersaing dengan masyarakat dari kaum serta etnik lain.