Lahirkan belia sedia hadapi cabaran globalisasi

0

SARIKEI: Golongan belia yang menjadi pelapis pemimpin negara dan bangsa harus mempersiap diri dengan pelbagai pengetahuan serta kemahiran dalam menghadapi cabaran dunia globalisasi.

Timbalan Residen (Pembangunan) Sarikei, Baijuri Bidin berkata, belia cemerlang ialah mereka bersikap positif, berkemahiran mengurus diri, organisasi, berpandangan jauh serta mampu menjadi pemimpin keluarga, masyarakat dan negara.

“Namun, bagi melahir belia cemerlang bukanlah mudah. Ia memerlukan kerjasama padu semua pihak terutama ibu bapa dan juga masyarakat.

“Keperibadian mereka perlu dilentur sebaik mungkin supaya aspek jasmani, rohani, intelek dan emosi berkembang dengan seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bakat Remaja Gaya Hidup Rakan Muda Bahagian Sarikei yang telah berlangsung di Stadium Bola Keranjang, Taman Susur Jambu Sarikei, baru-baru ini.

Jelasnya,kekuatan fizikal, agama, akal dan emosi perlu digilap secara berterusan supaya menjadi lebih mantap.

“Golongan belia tidak harus membiar diri terjebak ke dalam kancah tidak bermoral. Mereka seharusnya menjadi generasi yang lebih matang dan bijak,” katanya.

Menurut Baijuri, belia adalahsumber pelaburan terbesar negara dan berpotensi menyumbangkan khidmat bakti kepada bangsa, agama dan negara untuk semua aspek terutamanya perpaduan serta keharmonian negara.

“Justeru, perpaduan kaum di negara ini harus dipertingkat lagi supaya berupaya menentukan kekuatan dan ketahanan pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara.

“Jangan sesekali kita mengadai maruah negara kepada mereka yang tidak bertanggungjawab. Sikap seperti ini akan merosakkan kedaulatan negara kita,” kata Baijuri lagi.

Sementara itu pada majlis sama juga, Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Sarikei, Mohd Johari Abdullah dalam ucapan alu-alunya berkata, program yang dianjur itu menjadi wadah golongan muda supaya berinteraksi dengan  pelbagai lapisan masyarakat.

“Melalui program ini, kita yakin ia mampu menjadi platform  melahirkan belia remaja berdisplin, cerdas, berkepimpinan, berkemahiran, berdikari, berbudaya, patriotik, kesukarelaan dan berdaya juang yang tinggi.

“Objektif utama program ini dianjur adalah untuk memperkasa aktiviti Gaya Hidup Rakan Muda mengikut cita rasa dan kehendak semasa bagi menggalak penyertaan golongan remaja,” katanya.

Katanya, program itu juga terbuka kepada golongan muda dengan menyediakan pelbagai aktiviti dan pilihan terbuka bagi memupuk semangat kekitaan belia terlibat.

Pelbagai aktiviti diadakan pada program tersebut antaranya persembahan waja diri, kaunter pameran, demonstrasi jabatan kerajaan dan gerai jualan.