LHDN Miri terima 11,000 borang permohonan, kemas kini BR1M

0

MIRI: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Miri semalam menerima sekitar 11,000 permohonan baharu dan  borang kemas kini maklumat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sejak proses bantuan itu dibuka 1 Disember lalu.

Timbalan Pengarah LHDN Miri Achon Wahab berkata, kaunter khas turut disedia di premis LHDN bagi memudahkan pemohon BR1M.

“Kita mempunyai 20 kakitangan yang ditugas khas untuk BR1M sahaja. Sambutannya amat memberangsangkan daripada masyarakat setempat,” katanya.

Menurutnya, selain kakitangan bertugas, terdapat tiga komputer disedia membantu memudahkan lagi pemohon mengemas kini maklumat secara talian.

“Untuk keselesaan, pemohon boleh mengguna komputer disedia di bahagian lobi. Ini memudahkan proses mengemas kini maklumat masing-masing,” ujarnya.

Tambahnya, pemohon boleh mengemas kini maklumat masing-masing sehingga 31 Disember ini.

Manakala pemohon baharu turut boleh memohon dengan bantuan kakitangan LHDN pada tempoh sama.

Sementara itu, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin menyerah sejumlah 769 helai BR1M  merangkumi borang permohonan baharu dan borang kemas kini pemohon BR1M ke pejabat LHDN.

Borang itu diserah terus kepada Achon selepas mengada lawatan ke LHDN bagi melihat proses untuk BR1M 2015.

Jelas Lee, borang tersebut dikumpul daripada penduduk kawasan Riam dan Tudan melalui kaunter Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri di pusat komersial Emart baru-baru ini.

Selain itu katanya, SUPP Miri turut menyediakan kaunter yang sama di Permy Mall pada Sabtu (20 Disember) bermula jam 3 petang hingga 5 petang dan Ahad (21 Disember) pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

“Kita menggesa pemohon datang ke kaunter yang disedia bagi memudahkan mereka mengemas kini maklumat BR1M masing-masing.

“Kita tidak mahu menerima pemohon yang menghantar wakil melakukan proses itu bagi mengelak sebarang masalah berlaku,” tegasnya.